Pengasas Haji Ismail Group dinobat Tokoh Maal Hijrah Kedah
ALOR SETAR - Allahyarham Ismail Ahmad yang merupakan pengasas pusat membeli-belah coklat di Langkawi, Haji Ismail Group (HIG) dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444/2022 Peringkat Negeri Kedah.
Balunya, Yah Othman, 77, ketika ditemui mengakui bangga bercampur sebak dengan anugerah diberikan kepada Allahyarham suaminya yang meninggal dunia pada September 2006 semasa berusia 67 tahun.
Menurutnya, Allahyarham Ismail mengayuh basikal menjual ikan dan udang dari rumah ke rumah di Langkawi tidak terlepas berdepan dengan pelbagai cabaran pada awal perniagaannya.
"Arwah suami saya berniaga ikan, udang pada tahun 1960-an dengan harga 60 sen sekati atau 600 gram. Waktu itu, bukan semua orang mampu beli. Arwah suami saya izinkan pelanggan untuk tukar dengan barang yang mereka ada.
"Lama-lama kelamaan perniagaan arwah semakin baik dan dia mula buka perniagaan lain sehinggalah HIG berkembang dan dikenali oleh orang ramai seperti hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Maal Hijrah 1444/2022 Peringkat Negeri Kedah di sebuah hotel pada Selasa.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan merasmikan majlis tersebut secara dalam talian.
Anugerah Maal Hijrah pula disampaikan oleh Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim.
Tambah ibu kepada tujuh anak itu, kehidupan sukar dilalui mereka semasa membina perniagaan tersebut menjadikan Allahyarham suaminya suka bersedekah selain selalu bersama alim ulama termasuk rapat dengan Allahyarham Datuk Dr Harun Din.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pentadbiran dan Sumber Manusia HIG, Rosna Ismail, 50, mengakui terkejut apabila dimaklumkan Allahyarham bapanya dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini.
Menurutnya, Allahyarham adalah sumber inspirasi kepada mereka bagi meneruskan dan mengembangkan lagi legasi perniagaan HIG yang ditinggalkan kepada anak-anaknya.
"Bapa selalu nasihat supaya kami tidak malu untuk berniaga. Sebelum meninggal dunia dia berpesan supaya kami menjaga perniagaannya dan alhamdulillah kami adik-beradik berusaha sebaik mungkin untuk meneruskan perniagaan bapa," ujarnya.
Pada majlis berkenaan, turut disampaikan Anugerah Masjid Terbaik Bandar kepada Masjid Al Halimi, Pekan Bandar Baru manakala Masjid Al Busra, Pekan Merbuk, Sungai Petani menerima Anugerah Masjid Terbaik Luar Bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!