Scammer: Sasar orang muda, tawar gaji lebih RM10,000
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket tersebut menyasarkan golongan muda berusia antara 18 hingga 25 tahun terutamanya mereka yang sedang mencari pekerjaan pascapandemik Covid-19.
"Dalam serbuan dibuat di Batu Pahat baru-baru ini, serbuan mendapati ejen yang menjadi 'scammer' melibatkan golongan muda berusia berusia antara 18 hingga 25 tahun.
"Sindiket ini 'memancing' individu yang sedang mencari pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, gaji tetap RM2,500 sebulan tidak termasuk komisen, jika mereka berjaya memperdaya lebih ramai orang, pendapatan mereka boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.
Turut hadir selebriti terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie dan Saifulazam Mohammad Yusoff (Saiful Apek).
Kamarul Zaman berkata, sebanyak 1,747 kes jenayah komersial dengan kerugian keseluruhan melibatkan RM156 juta direkodkan sejak Januari hingga 31 Julai lalu di negeri ini.
Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 90 peratus atau sejumlah 1,554 kes adalah membabitkan jenayah penipuan secara dalam talian.
Justeru, beliau berharap, kempen berkenaan dapat memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan trend terkini jenayah komersial antaranya 'Love Scam', 'Macau Scam', 'Parcel Scam' dan 'Internet Scam'.
Sementara itu, Awie berkata, penganjuran program itu berjaya mencapai matlamat awal untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka dengan jenayah komersial khususnya secara dalam talian.
"Maklum balas yang saya dapat masyarakat sudah semakin cakna dan mahu mengambil tahu perkembangan semasa termasuk taktik penjenayah.
"Kita dapat melihat orang ramai bertanya soalan dan juga mendengar penerangan secara serius, Alhamdulillah ini satu kerjasama yang sangat bagus dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!