'Rezeki kahwin', pemenang peraduan luah rasa syukur, gembira

Bahrin berjaya memenangi wang tunai RM7,000 dalam Kategori Kreatif Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga.
Bahrin berjaya memenangi wang tunai RM7,000 dalam Kategori Kreatif Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kakitangan syarikat e-dagang menyifatkan kemenangan diperoleh pada Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga sebanyak RM7,000 sebagai 'rezeki kahwin'.

Bahrin Ahmad Basir, 25, menjuarai Kategori Kreatif dalam peraduan anjuran syarikat akhbar ini sempena Sambutan Ulang Tahun Sinar Harian ke-16 berkata, kemenangan itu sangat berbaloi apatah lagi beliau ketika ini sedang mengumpul duit untuk melangsungkan perkahwinannya pada hujung tahun ini.

Berkongsi rasa gembira, Bahrin yang menetap di Kuala Lumpur memberitahu beliau memang sudah berniat untuk berkahwin penghujung tahun ini dan wang yang dimenangi itu dapat digunakan untuk tujuan tersebut.

"Saya anggap ini rezeki untuk kahwin dan sememangnya saya dalam proses untuk mengumpul duit ke arah itu. Alhamdulillah, duit yang dimenangi ini akan digunakan untuk majlis perkahwinan.

“Terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi peluang serta menganjurkan pertandingan seperti ini sekali gus membantu anak muda seperti saya untuk menambah pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Bahrin memberitahu mencari kelainan dengan menghantar penyertaan bagi Kategori Kreatif dalam bentuk digital iaitu video yang dihasilkan seorang diri bermula daripada penggambaran, pencahayaan dan sebagainya dengan menggunakan modal sendiri.

Walaupun ia dibuat tanpa menggunakan modal besar, namun ia bukan halangan untuknya menghasilkan karya yang baik.

“Selagi ada idea, kreativiti dan berusaha, insya-ALLAH...rezeki itu tetap akan datang,” katanya.

Bahrin turut memberitahu beliau merupakan pembaca setia akhbar Sinar Harian sejak 2015 dan menjadikan akhbar berkenaan sebagai bahan rujukan untuk meningkatkan kemahiran dalam penulisan.

Bahrin, juara Kategori Kreatif Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga menunjukkan koleksi surat khabar Sinar Harian dalam simpanannya.
Bahrin, juara Kategori Kreatif Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga menunjukkan koleksi surat khabar Sinar Harian dalam simpanannya.

“Semasa saya belajar dalam bidang Diploma Kreatif di Fakulti Filem, Teater & Animasi (FITA), UiTM Puncak Perdana, akhbar Sinar Harian dijadikan bahan bacaan untuk menambah ilmu tentang isu semasa selain meningkatkan kemahiran dalam penulisan rencana,” katanya.

Bersempena Ulang Tahun Sinar Harian ke-16, Bahrin berterima kasih kepada Sinar Harian kerana sentiasa menjadi sumber berita yang tepat dan sahih buat pembaca di negara ini.

“Semoga dengan wajah baharu yang ditampilkan Sinar Harian, akhbar ini akan terus menjadi pilihan utama semua pembaca terutama kepada generasi muda,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!