Sanusi sangkal dakwaan rizab melonjak hasil aktiviti balak

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan sebahagian besar daripada jumlah rizab simpanan negeri adalah hasil daripada aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, rizab negeri sebanyak RM600 juta yang tertinggi dalam sejarah negeri Kedah adalah hasil daripada perbelanjaan berhemah dan sumber pendapatan negeri.

Justeru, beliau berharap dengan penjelasan itu dapat melenyapkan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan lonjakan rizab negeri dengan hasil yang dikaut menerusi aktiviti pembalakan secara meluas.

“Tak perlu layan tuduhan liar seperti itu, yang pasti sangkaan mereka rizab melonjak berpunca daripada hasil pembalakan adalah meleset sama sekali.

“Dari mana punca hasil tinggi itu, biarlah menjadi rahsia kerajaan. Saya akur ada sesetengah pihak gemar bersangka buruk terhadap pihak lain,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, hasil daripada aktiviti pembalakan bukan penyumbang utama atau terbesar kepada rizab simpanan negeri ini.

“Pembalakan tidak ada duit (bayaran) baharu sebab mereka (syarikat konsesi) sudah bayar (premium) sebelum ini. Ada sedikit saja yang buat bayaran untuk baki bagi memproses lesen penebangan dan cukai kayu balak,” katanya lagi.

Menurutnya, rizab negeri tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya dan perlu mendapat kelulusan dalam belanjawan.

“Bukan senang-senang nak belanja duit itu, kena ada kelulusan dan ada puncanya. Ketika zaman Nabi Yusof, satu sistem ekonomi diperkenalkan dan menjadi rujukan sehingga kini, iaitu baginda suruh tuai tanaman waktu subur dan simpan sehingga musim kemarau.

“Masa kemarau barulah simpanan itu dikeluarkan. Kita (Kedah) belum sampai waktu kemarau lagi,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menjawab persoalan beberapa pihak yang membangkitkan keperluan menggunakan rizab negeri untuk membantu mangsa bencana kepala air di Baling.

“Isu bencana di Yan dan Baling atau di kawasan lain, kita masih boleh kendalikan dengan sempurna, tidak ada kegagalan. Malah negeri sudah pun peruntukkan sejumlah dana yang munasabah untuk bantuan bencana di mana saja di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, pelbagai bantuan dari seluruh negeri turut disalurkan secara terus kepada penduduk sama ada dalam bentuk kewangan, barangan mahupun tenaga sukarelawan.

“Oleh itu, buat masa ini tiada keperluan untuk kita gunakan rizab negeri dalam perkara berkaitan,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam sebuah program anjuran parti di Kompleks Pas Kedah, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah memiliki rizab sehingga RM600 juta selepas Pas mengambil alih kerajaan pada tahun 2020 hingga kini.

“Kita ada simpanan tetap sebagai rizab negeri RM600 juta untuk dibelanjakan pada masa kita sesak (terdesak). Sekarang ini bukan sesak lagi, jangan suruh belanja duit itu.

“Betul-betul kena simpan untuk perbelanjaan masa depan kerana kita tak tahu lagi ekonomi akan datang macam mana. Kalau ekonomi merudum, insya-ALLAH hutang-hutang pinjaman dan untuk kebajikan kita boleh gunakan. Sekarang masa untuk menyimpan,” katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, pentadbiran Pas yang diterajui Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (9 Mac 2008-5 Mei 2013) turut merekodkan simpanan rizab negeri yang tinggi sebanyak RM320 juta.

“Masa ambil alih kerajaan ketika itu simpanan rizab RM180 juta. Kita bersaing dengan Pulau Pinang RM700 juta dan Selangor RM3 bilion.

“Masa Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar tinggal RM40 juta. Nak bayar gaji pegawai pun tak lepas sebab sebulan kena peruntukkan RM23 juta. Maka kerajaan pada masa itu berhutang dengan Putrajaya dan sekarang kita bayar setahun RM10 juta hutang berkenaan dengan Putrajaya,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!