'Oktoberfest boleh runtuhkan budaya harmoni'
SHAH ALAM - Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menegaskan penganjuran festival arak, ‘Oktoberfest’ mampu meruntuhkan budaya harmoni serta menyuburkan persengketaan.
Nasrudin berkata, minuman keras bukan sahaja tidak membina akal yang sihat dan minda cerdas sebaliknya melumpuhkan daya fikir.
“Islam merupakan agama yang tidak membenarkan penganutnya membeli, menjual, menyedia dan meminum arak kerana boleh memabukkan serta melumpuhkan daya fikir.
“Islam tidak pernah menghalang individu bukan Islam jika agamanya membenarkan meminum arak, namun berbeza dengan pesta arak yang dirayakan secara terbuka seperti Oktoberfest.
“Apabila arak difestivalkan acara meminumnya di negara ini, ia bererti satu promosi dan galakan kepada masyarakat Malaysia untuk minum arak,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menegaskan, Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurutnya, festival arak tersebut bukan sahaja tidak sesuai malah mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Katanya, arak itu sendiri menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini sekali gus mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara.
“Arak mendorong kepada keganasan rumah tangga, pemandu mabuk menjadi pembunuh kejam di jalan raya, punca penyakit kronik, pencetus kepada maksiat dan sebagainya.
“Saya pernah terbaca satu laporan beberapa tahun lalu yang menyebut bahawa Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa arak adalah lebih bahaya berbanding pengganas kerana lebih tiga juta manusia mati kerananya di seluruh dunia.
"Lantaran itu, kenapa arak mahu dipesta-pestakan kalau tidak mereka mahu menjadi agen meruntuhkan tamadun dan merosakkan nilai peribadi masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!