JKM kesan waris bayi perempuan

JKM sedang mengesan ibu kandung dan waris bayi perempuan yang ditinggalkan di Kampung Sungai Karang pada 2 Julai lalu.
JKM sedang mengesan ibu kandung dan waris bayi perempuan yang ditinggalkan di Kampung Sungai Karang pada 2 Julai lalu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan.

Pegawai Pelindung JKM, Wan Norazlina Wan Aziz berkata, bayi berusia lima bulan itu diserahkan ibu kandungnya kepada pasangan suami isteri di Sungai Karang di sini, jam 12.30 tengah malam, pada 2 Julai lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dikemukakan atau nota yang ditinggalkan oleh ibu kandung bayi terbabit.

“Saya difahamkan pasangan ini mendengar ketukan pintu rumahnya, lalu membuka dan mendengar seorang wanita berkata tolong jaga bayi ini.

“Wanita tersebut terus melarikan lari di dalam semak sebelah rumah pasangan tersebut. Suami pasangan tersebut cuba mengejar namun wanita tersebut menghilangkan diri dalam kegelapan malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan itu, pasangan tersebut membuat satu laporan polis sebelum memanjangkan kes tersebut ke pengetahuan pihak JKM.

Jelasnya, usaha mencari wanita tersebut telah dilakukan, namun proses pencarian berdepan kesukaran memandangkan bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokuman pengenalan diri.

“Justeru perintah jagaan sementara kepada Perintah Orang yang Layak dan Sesuai dan siaran media dipohon dari Mahkamah Bagi Kanak-kanak (MBKK) Kuantan bagi tujuan penempatan dan pencarian waris kanak-kanak berkenaan.

“Kita berharap ibu kandung bayi seperti dalam gambar segera kembali untuk membantu pihak JKM dan keluarga angkat untuk urusan dokumen bayi berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi tersebut diminta untuk hadir di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuatan atau menghubungi Pelindung Kanak-kanak di talian 09-5724225.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!