Jenazah Fajim Juffa selamat dikebumikan
Jenazah Allahyarham terdahulu dibawa ke kediaman kakaknya, Datuk Fajura Juffa, 54 di Bandar Tasik Kesuma di sini pada pukul 5.41 petang untuk ditatap buat kali terakhir oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke Surau Al Kauthar yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah berkenaan untuk disembahyangkan.
Kira-kira 500 ahli keluarga dan rakan-rakan termasuk anggota TUDM menziarahi Allahyarham di surau berkenaan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Insiden kira-kira pukul 8 malam semalam mengakibatkan Fajim Juffa, yang pernah bertugas dalam pasukan TUDM sebelum bersara pada 2018 meninggal dunia, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, dan berada dalam keadaan stabil.
Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.
Sementara itu Fajura Juffa, 54, berkata kali terakhir beliau berjumpa adiknya itu adalah pada hari Ahad lepas sebelum adiknya pulang ke Ipoh.
Beliau berkata, adiknya itu banyak menghabiskan masa di Ipoh, menjadi jurulatih penerbangan dan hanya pulang ke rumahnya di Eco Majestic sini setiap Sabtu dan Ahad.
"Ia merupakan kebiasaan untuk dia menziarahi saya setiap hujung minggu kerana kami hanya tiga beradik dan yang bongsu tinggal di luar negara.
"Pada hari terakhir kami berjumpa, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tetap ceria seperti biasa dan ketika kami menerima khabar bahawa dia terlibat dalam kemalangan berkenaan saya amat terkejut," katanya ketika ditemui. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!