Letupan bom di Pattani, dua anggota sukarelawan parah
PATTANI - Dua anggota sukarelawan pertahanan Thailand cedera parah dalam satu insiden letupan bom di Mai Kaen, Pattani pada Selasa.
Ketua Polis Bahagian Kesembilan Mejar Jeneral Nantadech Yoinual berkata, kejadian berlaku kira-kira 7 pagi hari ini ketika enam anggota sukarelawan itu menaiki tiga motosikal sedang melakukan rondaan di pekarangan Sekolah Ban Krachut.
"Sebutir bom buatan sendiri seberat empat kilogram yang dipasang pada tong gas dan diletakkan di tepi jalan meletup sebaik ia diaktifkan menggunakan walkie-talkie.
"Letupan itu menyebabkan dua anggota sukarelawan pertahanan parah. Mangsa dibawa ke Hospita Mai Kaen sebelum dihantar ke Hospital Pattani untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Insiden berlaku ketika rundingan damai selatan Thailand antara Ketua Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) sedang berlangsung di Kuala Lumpur selama dua hari bermula hari ini. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!