'Selain kebersihan, jaga adab ketika memasak'
ALOR SETAR - Menjadi seorang tukang masak, bukanlah tugas yang boleh dipandang enteng, apatah lagi melibatkan penyediaan juadah untuk jumlah yang ramai.
Namun, kerana cinta yang mendalam dalam bidang masakan dan kulinari, setiap tugas itu dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan berdedikasi oleh Mohammad Saifudin Rosli, 40.
Katanya, sebagai seorang chef, beliau sangat mengutamakan kebersihan dan kesucian dalam setiap makanan yang disediakan.
"Saya akan pastikan setiap bahan mentah dan peralatan yang akan digunakan dalam masakan betul-betul bersih dan suci.
"Saya juga akan pastikan tubuh badan saya segar dan menjaga adab serta akhlak ketika memasak," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di pusat jualan Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd.
Saifudin atau lebih dikenali sebagai Chef Saifudin berkata, walaupun pemakanan sering diambil ringan oleh sesetengah pihak namun kesannya kepada diri seseorang itu cukup mendalam.
"Dahulu masa saya belajar di sekolah pondok, ada satu kitab yang kami belajar bertajuk Bicara Tentang Hati yang ada menyebut bahawa salah satu faktor hati kita kotor, gelap dan sebagainya adalah disebabkan pemakanan.
"Ini bermaksud apa yang kita makan, akan jadi darah daging kita dan secara tidak langsung turut membentuk keperibadian kita," katanya.
Menurutnya, selama 20 tahun dalam bidang masakan, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah dilalui.
"Antara pengalaman paling manis apabila kali pertama dipilih untuk memasak kepada kerabat diraja dalam suatu majlis.
"Saya agak gementar bercampur teruja. Duk fikir sendiri, betul ka aku nak masak bagi orang besar makan ni, macam tak percaya sebab ramai lagi tukang masak lain yang hebat-hebat. Tapi mungkin dah jadi rezeki saya kan.
"Alhamdulillah, sehingga sekarang saya sering dijemput memasak untuk kerabat diraja seperti Sultan Kedah, Raja Perlis dan lain-lain.
"Lazimnya, tiga hari sebelum majlis saya dah buat persiapan dari segi mental dan fizikal serta pastikan saya rehat secukupnya.
"Dari segi persiapan bahan-bahan pula, seminggu sebelum saya dah pastikan semua barang telah dipesan termasuk pinggan mangkuk.
"Alhamdulillah, dalam bab ini saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada Mohd Zaini Mohd Ali dari BFS Management Consultants Sdn Bhd," katanya yang turut mahir dalam seni ukiran ais.
Saifudin yang juga Duta Ayam Bismi berkata, bidang masakan dan kulinari memerlukan minat yang sangat mendalam seiring dengan usaha yang tidak putus-putus.
"Mungkin kita ada ilmu (masakan) tetapi minat tak ada, kita hanya terikut-ikut dengan kawan-kawan. Orang jenis ini, dia tak akan ke mana, kerana untuk mencapai sesuatu kejayaan itu kita perlukan minat dan semuanya terletak atas diri kita sendiri," katanya yang kini dalam perancangan untuk menaikkan martabat makanan tradisional Kedah di persada antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!