Aktiviti lompat parti calarkan imej parti

Mohd Razlan - FOTO HALIM WAHID
Mohd Razlan - FOTO HALIM WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] UMNO tidak pernah mendapat manfaat dan kelebihan disebabkan aktiviti lompat parti melibatkan ahli dan bekas kepimpinannya sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, parti itu juga tidak pernah bersetuju ahli-ahlinya melompat parti atas tujuan apa sekalipun.

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun ini apabila ada ugutan-ugutan yang dikatakan wujud daripada kepimpinan parti tertentu, ia sudah tentu memperlihatkan seolah-olah berlakunya gerakan politik yang tidak bermaruah.

“Aktiviti lompat parti yang berlaku sebenarnya telah mencalarkan imej kepimpinan UMNO,” katanya

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian Edisi ke-359 bertajuk 'Akta Lompat Parti: Tamat Riwayat Katak Politik' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahdlina Sidek manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak selaku moderator.

Sementara itu Mohd Razlan berkata, UMNO juga merupakan sebuah parti yang tegas terhadap ahli-ahlinya yang didapati melakukan kesalahan di bawah perlembagaan parti.

Jelasnya, mereka yang terlibat akan melalui proses-proses tertentu termasuk merujuk kepada lembaga disiplin parti.

“Timbalan Perdana Menteri kita pernah buang kerana tidak boleh ikut hala tuju parti.

"Maksud di sini UMNO boleh yakinkan bahawasanya kita akan gunakan proses-proses ini untuk membuang mereka (ahli yang ingkar) tetapi persoalannya perlukah sesebuah parti itu membayar dengan harga yang tinggi untuk menghilangkan seseorang ahli Parlimen? Jawapannya ya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!