Selepas 25 tahun Taiwan terima kunjungan Speaker Dewan AS
ISTANBUL - Sejurus mengakhiri lawatannya ke Malaysia pada Selasa, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi meneruskan perjalanan ke Taiwan meskipun berdepan amaran termasuk ancaman tindakan ketenteraan.
Ketibaan Pelosi disambut Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu sebaik beliau mendarat di Lapangan Terbang Taipei Songshan kira-kira 10.44 malam waktu tempatan (1444GMT), lapor Agensi Anadolu.
Dua hotel telah ditempah untuk penginapan para delegasi kongres dan pegawai AS.
Beijing sebelum ini telah menghantar mesej menggesa ahli parlimen AS itu membatalkan lawatannya, yang tidak termasuk dalam atur cara lawatan rasminya ke empat negara Asia.
Pelosi melawat Singapura pada Isnin, sebelum berkunjung ke Malaysia dan dijadual melawat Korea Selatan dan Jepun.
Kunjungan Pelosi itu menjadikan beliau ahli politik AS berpangkat tinggi pertama yang melawat Taiwan untuk tempoh 25 tahun.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Tsai Ing-wen dan ahli politik Taiwan.
Kali terakhir ahli politik AS melawat Taiwan ialah ketika kunjungan Newt Gingrich dari Republikan pada tahun 1997.
Pegawai tertinggi Taiwan berdiam diri mengenai kunjungan Pelosi, seingga menimbulkan kebimbangan Beijing.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian 'wilayahnya yang terpisah'.
Beijing telah memberi amaran bahawa tenteranya "tidak akan berdiam diri" jika "kedaulatan dan integriti wilayahnya" terancam dan Washington perlu bertanggungjawab terhadap sebarang tindak balas yang mungkin diambil China.
China dikatakan telah mengadakan beberapa sesi latihan ketenteraan berhampiran Taiwan sejak spekulasi mengenai lawatan itu timbul.
Minggu lalu, Presiden China Xi Jinping memberitahu rakan sejawatannya dari AS Joe Biden "jangan bermain api" berhubung isu Taiwan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!