Pengajaran daripada kes orang hilang

Sejak tahun 2017 hingga 1 September tahun lalu, PDRM merekodkan sebanyak 10,545 kes orang hilang. - Foto 123RF
Sejak tahun 2017 hingga 1 September tahun lalu, PDRM merekodkan sebanyak 10,545 kes orang hilang. - Foto 123RF
A
A
A

DALAM tempoh 10 hari selepas umat Islam meraikan Aidiladha, negara dikejutkan dengan berita kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman.

Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman, 58, dilaporkan tidak dapat dijejaki sejak lapan bulan lalu.

Menurut polis, pada November lalu, anak Zalina, Mikhael Norman, 33, gagal menghubungi ibunya untuk memaklumkan bahawa bapa wanita itu telah dimasukkan ke hospital.

Sehingga artikel ini ditulis, polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangan Zalina.

Dalam satu kes lain, keluarga Mohamad Ashraf Hasan, 29, atau lebih mesra dengan panggilan Acap masih menaruh harapan untuk bertemu dengan juruteknologi makmal perubatan itu meskipun sudah tiga tahun tanpa khabar berita,

Acap hilang tanpa jejak selepas memulakan larian di Gua Tempurung pada 23 Mac 2019.

Kehilangan Acap dianggap misteri kerana hingga kini belum ada petunjuk ditemui meskipun pelbagai usaha dilakukan.

Lain pula kisahnya dengan pemuda berusia 24 tahun, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain.

Misteri kehilangan lelaki itu sejak sembilan bulan lalu terungkap apabila mayatnya ditemui di dalam kenderaan yang terjunam ke sebuah sungai di Jalan Nenasi-Pekan, Pekan pada 22 Julai lalu.

Mayat pegawai keselamatan dan kesihatan itu lengkap berpakaian kerja offshore di tempat memandu kenderaan Nissan Grand Livina miliknya.

Orang hilang didefinisikan sebagai individu yang tidak dapat dijejaki dengan statusnya tidak diketahui sama ada hidup atau mati.

Sejak tahun 2017 hingga 1 September tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 10,545 kes orang hilang, termasuk remaja dan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Jumlah itu meliputi 6,074 kes orang hilang melibatkan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Punca

Kes kanak-kanak hilang melibatkan umur 18 tahun ke bawah pula berjumlah 4,471 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 4,871 orang berumur 18 tahun dan ke atas telah dijumpai semula, manakala baki 1,203 masih hilang.

Pangkalan data Orang Hilang dan Tidak Dikenal Pasti Kebangsaan (NamUS) yang dibiayai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula mendedahkan, lebih 600,000 orang hilang di seluruh dunia setiap tahun.

Kira-kira 4,400 mayat tidak dikenal pasti ditemui dalam tempoh sama.

Sri Lanka merupakan negara yang mencatatkan individu paling ramai hilang di dunia iaitu 60,000 hingga 100,000 orang sekitar tahun 1980-an.

Sebagai salah satu fenomena global, pengkarya seni turut tertarik untuk mengangkat kisah-kisah orang hilang menerusi filem.

Lima filem terbaik yang memaparkan situasi cemas, sedih, beremosi dan menguji kewarasan seseorang ketika menyelesaikan misteri serta persoalan orang hilang ini ialah Flight Plan (2005), Gone Baby Gone (2007), Winters Bone (2010), Prisoners (2013) dan Searching (2017).

Banyak sebab dikaitkan dengan orang hilang, antaranya penyakit mental, perselisihan faham dengan keluarga, kemalangan, keganasan rumah tangga atau menjadi mangsa jenayah.

Faktanya, tidak sedikit impak yang ditanggung keluarga, rakan, masyarakat dan negara kesan daripada orang hilang.

Dari sudut emosi, ia mengakibatkan keluarga dan mereka yang terdekat dengan mangsa diselimuti rasa sedih, ketidaktentuan, bimbang, murung dan resah.

Justeru, sebagai langkah menangani masalah orang hilang melibatkan kanak-kanak, kerajaan telah mewujudkan portal menerusi pautan https://knk2hilang.rmp.gov.my.

Pada masa sama, PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, dalam menangani kes orang hilang, ia bukan tergalas di bahu pihak berkuasa sahaja. Sebagai anggota masyarakat, pepatah ‘jaga tepi kain orang’ itu sangat relevan.

Mulai sekarang kita kena ambil peduli siapa pun di sekeliling sama ada mereka adalah ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai mahupun jiran tetangga.

Hari ini segalanya di hujung jari. Jadi, manfaatkanlah teknologi yang ada untuk sering bertanya khabar dan saling berhubung.

Islam sendiri meletakkan nilai tinggi kepada mereka yang menjaga silaturahim dengan ganjaran istimewa.

Seperti yang dititipkan Rasulullah SAW melalui riwayat Abu Daud, kelompok ini memperoleh dua kelebihan iaitu rezekinya dipermudahkan dan dipanjangkan usia.

* Najibah Hassan ialah penyunting Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!