Terharu, penghantar makanan dapat jadi guru agama

Mohd Danyal Naqiuddin Zulkifli menerima surat penempatan mengajar daripada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif dalam majlis diadakan di Dewan Saadah Wisma Muis, Kota Kinabalu, pada Rabu.
Mohd Danyal Naqiuddin Zulkifli menerima surat penempatan mengajar daripada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif dalam majlis diadakan di Dewan Saadah Wisma Muis, Kota Kinabalu, pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang penghantar makanan tidak menyangka penantiannya untuk mendapatkan pekerjaan tetap sejak dua tahun lalu berakhir apabila ditawarkan sebagai pendidik di salah sebuah sekolah agama di Sabah.

Mohd Danyal Naqiuddin Zulkifli, 25, yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 sebelum ini terpaksa menyara keluarganya dengan bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar Kota Kinabalu.

"Sebelum pandemik Covid-19, saya bekerja di sebuah agensi perkhidmatan umrah dan haji tetapi terpaksa berhenti apabila syarikat menutup bahagian operasi ketika itu.

"Saya kemudian bekerja sebagai 'rider foodpanda' selama dua tahun sementara menunggu panggilan temuduga dan akhirnya berjaya ditawarkan sebagai guru agama baru-baru ini," katanya kepada pemberita ketika menerima surat penempatan sekolah di sini, pada Rabu.

Pemegang Diploma Pengurusan Haji dan Umrah dari Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur itu turut mengakui berasa terharu apabila ditugaskan ke daerah kelahirannya sendiri di Kudat.

"Saya tidak sangka dapat mengajar di daerah sendiri. Hari ini saya sudah menerima surat penempatan dan akan mengajar di Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Karakit yang terletak di Pulau Banggi.

"Saya terharu kerana dapat berkhidmat di daerah sendiri. Mungkin saya menetap di Pekan Karakit memandangkan kampung saya di Kampung Pengaraban terletak jauh dari tempat mengajar dan memerlukan perjalanan sehingga dua jam untuk ke sekolah termasuk menaiki feri ke Pulau Banggi," kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Seorang lagi guru agama, Ahmad Khairi Kasimin, 29, yang turut menerima surat penempatan berharap dengan pelantikan mereka sebagai guru tetap di sekolah agama akan memenuhi keperluan guru bidang agama di negeri tersebut.

"Sebelum ini saya memang berkhidmat sebagai pendidik di SAN Keningau namun bukan secara tetap dan baru dilantik untuk diserap sebagai guru agama.

"Saya rela ditempatkan di mana saja dan dengan pelantikan ini mungkin memenuhi kehendak untuk mengisi kekosongan guru agama di Sabah," katanya.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, seramai 130 guru terdiri daripada anak tempatan Sabah diberi surat untuk ditempatkan mengajar di seluruh negeri termasuk di kawasan pedalaman.

"Diharap dengan penambahan guru baharu ini akan dapat mengurangkan beban kekurangan guru di sekolah-sekolah agama di negeri ini.

"Pelantikan ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan guru di negeri kita dan mereka yang dilantik ini adalah anak jati Sabah berkelulusan termasuk dari Universiti Al-Azhar, Jordan dan universiti tempatan.

"Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada guru dari Semenanjung dan selaras dengan dasar 90:10 yang mahukan anak tempatan lebih ramai mengajar di Sabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!