Mari jaga imej persatuan

A
A
A

AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, menahan marah apabila Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof membuat kenyataan bahawa syarikat Lynas tidak boleh diabaikan kerana pelaburan besar yang telah dibuat. Kata Ahli Parlimen itu, adalah lebih baik hal-hal Lynas diulas oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Baru-baru ini juga, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim membidas tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan mendakwa ia dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu Kementerian Pendidikan untuk berbincang dan tanpa merujuk kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

Katanya, Tommy sepatutnya memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk membuat pengumuman rasmi mengenai UEC. Rais berkata, dakwaan Peguam Negara terjebak dalam politik partisan menjadi lebih kuat bila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan bagi pihaknya pengiktirafan ke atas UEC dalam bidang undang-undang.

Dua kes yang berlaku ini memang tidak baik untuk politik. Ia memberi pesepsi bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan bertelagah dan ingin dahulu mendahului tanpa mahu mematuhi keputusan Kabinet dan etika tanggungjawab bersama. Seharusnya mereka perlu pertahankan sesama mereka sebagai sebuah pasukan. Meraka perlu mempamerkan solidariti.

Tetapi sebaliknya terjadi kerana masing-masing telah melampaui batas bidang tugas dan wilayah kuasa kementerian masing-masing. Daripada sudut perilaku berorganisasi pula, tindakan mereka menggambarkan seolah-olah mereka tidak tahu adab tertib berorganisasi.

Dalam berorganisasi, apa jua keputusan dalam mesyuarat sama ada secara majoriti mahupun secara konsensus, harus dipatuhi termasuk oleh mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Tetapi seandainya apa jua keputusan yang telah diambil oleh organisasi itu dikritik oleh mereka yang di luar organisasi, semua anggota organisasi wajib mempertahankan sebagai tanda adanya collective resposibility atau tanggungjawab bersama. Maknanya, tidak boleh sama sekali mengkritik pula keputusan yang telah diambil.

Pertindihan tugas di antara mana-mana bahagian organisasi tidak wajar wujud. Tidak bolehlah tugas grup A dibuat juga oleh grup B kerana ini akan membazir sumber tenaga. Organisasi itu perlu mengarahkan satu-satu grup sahaja melaksanakannya. Seandainya satu grup lagi tiada tugasan lain, grup itu seharusnya dimansuhkan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Meskipun sebagai sebuah pasukan, setiap kumpulan dan juga ketuanya perlu mempamerkan keunikan dan kepakaran masing-masing agar ia diyakini oleh ahli-ahlinya. Tamsilannya seperti pasukan filem fiksyen The Avengers atau A-Team di mana setiap pasukan mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan menjadi tempat ahli-ahlinya bergantung harap. Tetapi seandainya kehebatan masing-masing itu adalah untuk membelasah sesama sendiri, ahli-ahli akan meluat dengan mereka.

Organisasi juga perlu dianggotai oleh mereka yang mempunyai integriti. Tanpa wibawa dan berprinsip tegas dengan sifat-sifat amanah, bertanggungjawab serta sentiasa sedia memberi khidmat, organisasi itu akan dilihat sebagai sebuah kumpulan gengster yang boleh melanggar apa jua peraturan tanpa rasa malu dan bersalah.

Organisasi juga perlu berorientasikan hasil. Bila keputusan telah diambil oleh pasukan, ia perlu dilaksanakan hingga berjaya. Ini akan menimbulkan keyakinan dan akhirnya sokongan ahli-ahli untuk mempertahankan kepimpinan organisasi. Organisasi yang lambat menunjukkan hasil akan membingungkan ahli-ahlinya. Ahli-ahli akan hilang fokus dan hilang keyakinan kepada organisasi.

Secara rasmi mahupun tidak rasmi, kita semua adalah anggota dalam sesebuah organisasi. Tidak kiralah sama ada ia organisasi yang dinamakan keluarga, jawatankuasa surau, PIBG, jawatankuasa mana-mana program, NGO, jabatan, bahagian malah kabinet sendiri; kita perlu menghormati dan mendokong idealime organisasi serta menjayakannya.

Organisasi perlu diterajui oleh mereka yang berkebolehan supaya ahli-ahlinya mendapat manfaat. Andainya kita tahu yang kita tidak berkebolehan dan selalu sangat menghabiskan beras, maaf cakap... lebih baik kita tinggalkan organisasi itu untuk orang lain menerajuinya!

* Penulis ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!