[VIDEO] Bubar Parlimen jalan terbaik, jika PN desak isu TPM
KUANTAN - Bubar Parlimen adalah jalan penyelesaian terbaik, jika Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mendesak pelantikan jawatan timbalan perdana menteri (TPM).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tiada keperluan untuk melantik jawatan baharu dalam kabinet termasuk TPM pada ketika ini.
“Pelantikan TPM hanya akan menambah jumlah anggota kabinet yang sedia besar ketika ini malah isu ini (jawatan) tidak perlu dibangkitkan dalam keadaan rakyat yang terus tertekan. Kelangsungan rakyat lebih utama berbanding ahli politik.
“Jika pembubaran Parlimen semakin hampir dan benar, maka tidak perlulah lantikan TPM,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Tambah Mohd Sharkar, sekiranya desakan terus berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen memandangkan tempoh penggalnya hampir tamat tahun depan.
Katanya, malah keputusan melantik TPM adalah satu pembaziran yang tidak perlu berdasarkan pandangan rakyat.
“Daripada terus bergaduh soal jawatan kabinet, lebih baik serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Tegas Mohd Sharkar, rakyat ketika ini sedang dihimpit dengan peningkatan kos sara hidup dan menuntut semua pihak tidak kira daripada pelbagai latar belakang politik duduk semeja membincangkan soal bagaimana boleh mencari penyelesaian kepada isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!