Argentina, Chile, Uruguay, Paraguay bida anjur Piala Dunia 2030
KEJOHANAN Piala Dunia 2030 kelak dijangka menjadi edisi paling menarik apabila empat negara melibatkan Argentina, Chile, Uruguay dan Paraguay membida selaku tuan rumah bersama.
Perkara itu didedahkan Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez yang mengesahkan keempat-empat negara berkenaan telahpun menghantar permohonan selaku tuan rumah bersama pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
“Secara keseluruhannya, saya melihat bidaan ini sebagai satu impian sebuah benua iaitu benua Amerika Selatan untuk menganjurkan kejohanan paling berprestij di dunia itu.
“Sudah pasti kejohanan ini akan berterusan, tetapi ia akan mencecah penganjurannya buat kali ke-100 hanya sekali dan disebabkan itu, kejohanan ini perlu kembali ke tempat ‘asalnya' iaitu di mana ia ‘bermula’ 100 tahun lalu,” katanya.
Untuk rekod, Piala Dunia pertama berlangsung pada 1930 di Uruguay yang menyaksikan negara berkenaan muncul juara dengan menewaskan Argentina pada aksi final di Stadium Montevideo Centenario.
Selepas itu, kejohanan berkenaan turut dianjurkan Brazil pada 1950 dan 2014 di Chile (1962), Mexico (1970, 1986) dan Argentina (1978).
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay, Ignacio Alonso berkata, pihaknya berharap bidaan itu mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada FIFA.
Katanya, penganjuran Piala Dunia di empat negara di benua Amerika Selatan itu pastinya menjanjikan penganjuran terhebat dan akan terus diingati kelak.
“Sebenarnya, tiada alasan untuk FIFA menolak bidaan ini...lagi pun bidaan ini dibuat setelah 100 tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!