Simbah cat merah, peniaga dipenjara enam bulan

Tertuduh diiring polis di Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.
Tertuduh diiring polis di Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimbah cat merah di dua buah rumah di daerah ini bulan lalu.

Majistret Norzaliza Tesmin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohamad Saiful Zulkefli, 25, yang membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh bertindak bagi seorang pemberi pinjam wang telah menyimbah cat berwarna merah di dua buah rumah melibatkan mangsa berusia 38 dan 40 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Rasah Jaya pada 22 Julai 2022, jam lebih kurang 2 petang dan di sebuah rumah di Taman Pinggiran Golf pada 25 Julai 2022, jam lebih kurang 1.50 petang.

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(2) dan 29B(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 Tanpa Lesen yang boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta sama.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 29B(2) boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau dihukum penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 29B(1) pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 bulan atau kedua-duanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Iwana Sakinah Mohd Lajis merayu supaya tertuduh dikenakan hukuman berbentuk penjara atas alasan dia hanya peniaga kecil-kecilan dengan pendapatan RM1,000.

Timbalan Pendakwa Raya, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira emosi mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Julai 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!