Cadangan bina Lapangan Terbang Pulau Tioman tertakluk kajian NASP
KUALA LUMPUR - Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu adalah tertakluk kepada hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang telah bermula pada Mac lepas dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurutnya, kajian itu meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu, dengan kajian itu antara lain turut meneliti sama ada cadangan projek berkenaan berdaya saing atau sebaliknya.
"Sehingga kini tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang ingin tahu sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu yang dicadangkan sebuah syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar daripada kerajaan dan sama ada projek tersebut berdaya saing serta memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.
Ka Siong berkata, Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada 27 Okt 2020 antara lain bersetuju secara dasar dengan cadangan pembinaan lapangan terbang Pulau Tioman tertakluk kepada keperluan menyediakan beberapa laporan teknikal seperti laporan penilaian impak alam sekitar dan laporan penilaian impak sosial.
Katanya, mesyuarat MPFN juga memutuskan cadangan itu juga perlu diangkat semula untuk pertimbangan majlis.
Kepada soalan Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) mengenai sama ada kerajaan bercadang membina atau membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor, Ka Siong berkata pada masa ini kapasiti masih rendah dan belum ada keperluan berhubung perkara itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!