Kakitangan TNB dikhuatiri lemas
BENTONG - Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikhuatiri lemas ketika memancing di loji air Semantan dekat Kampung Lengkong di Karak pada Selasa.
Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, sedang memancing bersama rakannya sebelum dipercayai dihanyutkan arus deras.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Pahang Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.22 petang.
Menurutnya, seramai lima anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Sampai di tempat kejadian, mendapati berlakunya kejadian lemas melibatkan dua lelaki dewasa yang memancing sebelum dihanyutkan arus.
"Satu mangsa dihanyutkan arus manakala seorang lagi mangsa berusia 32 tahun berjaya diselamatkan menggunakan tali penyelamat oleh pihak bomba pada jam 7 petang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dan ditangguhkan pada jam 7.46 petang dan bersambung pada pagi ini (Rabu) bermula jam 8 pagi melibatkan 55 orang terdiri pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi lain dan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, operasi pada Rabu menggunakan dua bot fiber bomba, dua bot fiber orang kampung dan sebuah bot aluminum membuat pencarian di sepanjang lokasi mangsa terjatuh sehingga dua kilometer dari lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!