Tangki air keluli untuk SK Pendidikan Khas Melaka
MELAKA - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Melaka, Semabok di sini, menerima sumbangan dua tangki air keluli bagi kemudahan sekolah itu.
Ia sumbangan syarikat pengeluar tangki berkenaan, Honesteel Sdn Bhd atas usaha dan inisiatif ADUN Duyong, Damien Yeo serta Jawatankuasa Penyelaras DUN (Japerun) Duyong.
Guru Besar SK Pendidikan Khas Melaka, Mohd Zaki Baharom berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan berkenaan sebagai ganti tangki PVC sedia ada yang sudah berusia lebih 20 tahun.
"Biarpun tangki sedia ada diselenggara dengan baik, kami percaya dengan kemudahan tangki baharu ini, tahap kebersihan bekalan air di sekolah ini lebih baik.
"Kami berterima kasih di atas inisiatif dan keprihatinan syarikat pembekal terbabit, ADUN dan Japerun Duyong atas segala sumbangan ini," katanya.
SK Pendidikan Khas Melaka mempunyai seramai 33 murid dari tahun satu hingga tingkatan lima yang kesemuanya mengalami masalah pendengaran.
Selain itu, sekolah tersebut turut mempunyai seramai 25tenaga pendidik dan pentadbir di samping 17 kakitangan sokongan lain.
Sementara itu, Damien berkata, SK Pendidikan Khas Melaka adalah sekolah ketiga di dalam DUN Duyong menerima sumbangan tangki air baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!