KPDNHEP rancang kawal selia industri kecantikan

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid -Foto Bernama
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang merancang untuk mengawal selia industri kecantikan di negara ini bagi memastikan pengguna terbela dan perniagaan terbabit tidak terjejas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ini disebabkan tuntutan berkaitan estetik adalah tuntutan kelima tertinggi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Sehingga 2022, kita sudah menerima sebanyak 661 kes berkaitan hal-hal kecantikan atau estetik ini.

“Dalam rekod kita, tuntutan berkaitan estetik ini adalah tuntutan kelima tertinggi TTPM,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanyakan adakah ada keperluan untuk mengawal selia industri kecantikan di negara ini dan bila kerajaan mahu melaksanakannya.

Rosol menegaskan, KPDNHEP juga memandang serius hal berkaitan keselamatan dan tawaran yang dikeluarkan oleh persatuan atau premis berkaitan estetik.

“Kerana ia tidak dikawal selia, banyak aduan yang kita terima daripada pengguna.

“Contohnya ada satu kes daripada syarikat yang berjanji untuk menumbuhkan rambut tetapi bila dibuat rupanya ia tidak berjaya.

“Jadi kita tahu hal tersebut berdasarkan kepada laporan yang datang daripada TTPM,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!