Kastam rampas rokok seludup RM3.8 juta

Sazali (kanan) menunjukkan rokok putih dan kretek yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kulai ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru pada Rabu.
Sazali (kanan) menunjukkan rokok putih dan kretek yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kulai ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas lebih lapan juta batang rokok putih dan kretek seludup dipercayai dari Indonesia yang dianggarkan bernilai RM3.8 juta di sebuah gudang di Kulai dekat sini pada 23 Julai lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, rampasan rokok terbesar di Johor setakat ini dilakukan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor Bahru pada jam 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas gudang, JKDM berjaya menemukan 8,017,600 batang rokok yang disembunyikan dalam bungkusan ditutup dengan kain kanvas.

"Nilai rokok tersebut RM3.8 juta, manakala duti serta cukai yang terlibat pula dianggarkan RM5.7 juta. Nilai keseluruhan dagangan yang dirampas termasuk cukai berjumlah RM9.45 juta dan tiada tangkapan dibuat semasa serbuan," katanya ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor di sini pada Rabu.

Menurut Sazali, kejayaan itu adalah hasil risikan serta siasatan selama dua bulan dan modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menyembunyikan rokok seludup dalam gudang sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Tambah Sazali, rokok putih dan kretek itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran secara tidak sah dengan menggunakan jalan laut.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana lebih besar.

"Kesalahan itu juga boleh juga didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungau Pulai berjaya merampas 3,840 minuman keras selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyoya Estima Aeras di Kilometer 2.7 Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Persisir Pantai Iskandar, Iskandar Puteri pada 22 Julai lalu.

Menurutnya, minuman keras tersebut disembunyikan di bahagian belakang kenderaan tersebut dan di kerusi pemandu.

"Minuman keras yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM10,700, manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah RM37,300.

"Nilai keseluruhan dagangan yang disita termasuk cukai dan kenderaan berjumlah RM88,100. Pemandu MPV berkenaan gagal mengemukakan kelulusan seperti invois, Borang Kastam 1 atau permit import," katanya.

Tambah Sazali, suspek melakukan kegiatan tersebut sejak dua atau tiga bulan lalu dan modus operandinya adalah dengan menggunakan MPV untuk mengambil minuman keras yang diseludup sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976, jika sabit kesalahan pertama boleh dihukum tidak kurang dari 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.

"Kesalahan itu juga boleh didenda tidak lebih 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!