Projek naik taraf, baik pulih bangunan Parlimen lambat siap

Pencapaian Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Bangunan Parlimen yang sepatutnya mengambil tempoh enam tahun mengalami kelambatan siap hingga 14 tahun. Foto hiasan
Pencapaian Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Bangunan Parlimen yang sepatutnya mengambil tempoh enam tahun mengalami kelambatan siap hingga 14 tahun. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pencapaian Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Bangunan Parlimen yang sepatutnya mengambil tempoh enam tahun mengalami kelambatan siap hingga 14 tahun mengambil kira projek fasa 2C(ii) yang dijadualkan siap berdasarkan kontrak pada 2025.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1, pengukuran keberhasilan keseluruhan projek yang bermula pada 2011 itu, belum dapat dinilai sepenuhnya kerana fasa 2C(ii) melibatkan skop kerja naik taraf dan baik pulih Blok Menara serta penyediaan tempat letak kenderaan bertingkat yang masih dalam fasa pelaksanaan.

"Secara keseluruhannya, pengurusan Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Bangunan Parlimen Malaysia adalah memuaskan dengan enam fasa telah disiapkan dan satu fasa dalam pelaksanaan,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan semakan audit mendapati perubahan skop kerja yang banyak atas permintaan pelanggan dan teknikal turut menyumbang kepada peningkatan kos siling berjumlah RM106.10 juta (20.4 peratus) daripada RM520 juta kepada RM626.10 juta.

Prestasi kewangan projek juga menunjukkan perbelanjaan hingga 31 Disember 2021 adalah berjumlah RM468.45 juta (74.8 peratus) berbanding peruntukan terkini berjumlah RM626.10 juta.

Selain itu, terdapat kelemahan dari segi pengurusan projek seperti pengurusan nilai, pengurusan kontrak dan perolehan, serta tadbir urus pembangunan sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kontrak kerja yang memerlukan perhatian daripada pihak pengurusan untuk tindakan penambahbaikan.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan tidak berulang pada masa hadapan, pihak Audit mengesyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan tadbir urus dan pemantauan menyeluruh serta berkesan supaya pelaksanaan projek berjaya dicapai mengikut objektif yang ditetapkan.

Selain itu, Parlimen dan JKR perlu memastikan pengurusan pembangunan sistem ICT dirujuk kepada pihak yang berautoriti bagi memelihara keperluan, kepentingan dan keselamatan ICT sektor awam.

"Parlimen juga perlu memastikan perolehan aset memfokuskan kepada penggunaan aset yang optimum dan dimanfaatkan sepenuhnya,” menurut laporan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!