Pandangan Idris isu Bon Odori, Oktoberfest perlu dihormati

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berhubung festival Bon Odori dan Oktoberfest perlu dihormati semua pihak.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tidak ada salahnya Idris mengemukakan pandangannya sebagai seorang Muslim dan yang menjaga autoriti agama.

“Kalau kita ada perbezaan seperti itu dan menteri telah menyatakan pandangan beliau, saya rasa kita perlu hormat pandangan masing-masing.

“Dalam hal ini saya fikir tiada salahnya menteri agama mengatakan begitu sebagai sorang Muslim dan menjaga autoriti agama,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya apakah pendirian Kementerian Perpaduan Negara apabila Idris cuba mengganggu amalan dan budaya bukan Islam dalam aspek Bon Odori dan Oktoberfest.

Wan Ahmad Fayhsal dalam masa sama turut melihat di dalam Rukun Negara terdapat sebuah frasa Kesopanan dan Kesusilaan.

“Dan saya fikir sebarang perbezaan dari segi kefahaman budaya dan agama contohnya Bon Odori dan Oktoberfest yang sebenarnya bukanlah sebahagian budaya masyarakat kita asalnya,” ujarnya.

Tegasnya, negara ini juga tidak menggunakan undang-undang bagi menyekat dari segi kebebasan mana-mana pihak bagi mengamalkan budaya mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!