Datuk Bandar KL turunkan gegantung haram
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menjalankan operasi menurunkan gegantung haram pada tiang lampu di sekitar jalan di ibu negara pada Selasa.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tertumpu di jalan menghala ke Plaza Tol Duta, Jalan Sungai Besi dan Jalan Connaught.
"Jumlah gegantung yang berjaya diturunkan di tiang lampu di kawasan terbabit adalah melebihi 100 unit dan operasi ini bermula jam 12 tengah malam sehingga 2 pagi.
"Tujuan lain operasi dijalankan adalah sebagai salah satu langkah pembersihan awal bagi menceriakan lagi Bandaraya Kuala Lumpur dalam menyambut Hari Kebangsaan 2022," kata kenyataan itu di laman Facebook DBKL.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan, lokasi gegantung yang diturunkan akan digantikan dengan gegantung Jalur Gemilang.
"Operasi berakhir jam 2 pagi ini turut disertai Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL dan kakitangan DBKL pelbagai jabatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!