Penduduk Kampung Mohd Amin trauma banjir berulang

Noor Ezaini mengemas barang di rumahnya sebagai persiapan berdepan banjir kilat susulan hujan yang dijangka sehingga Ahad di kawasan Johor Bahru.
Noor Ezaini mengemas barang di rumahnya sebagai persiapan berdepan banjir kilat susulan hujan yang dijangka sehingga Ahad di kawasan Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir kilat yang menyebabkan beberapa rumah di Kampung Mohd Amin di sini, dinaiki air pada Selasa meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk.

Cuaca tidak menentu dengan hujan diramalkan sehingga Ahad selain kedudukan kampung yang dikelilingi bangunan tinggi di tengah pusat bandar raya menyebabkan penduduk tidak dapat tidur lena setiap kali hujan turun.

Penduduk, Noor Ezaini Fauzi, 36, berkata, hujan dalam tempoh sejam bermula jam 11 pagi, menyebabkan rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari Sungai Chat dinaiki air.

"Hujan lebat ditambah paras air sungai yang mula naik disebabkan air pasang menyebabkan berlaku limpahan air sungai ke kawasan rumah kami.

"Ketika itu paras air naik mendadak, saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk kasut dan pakaian sekolah tiga anak berusia sembilan, lapan dan lima tahun," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Sungai Chat berhampiran Kampung Mohd Amin di tengah bandar raya Johor Bahru.
Sungai Chat berhampiran Kampung Mohd Amin di tengah bandar raya Johor Bahru.

Menurutnya, dia dan suami, Mohd Shahrir Jamian, 40, terpaksa bersengkang mata membersihkan rumah selepas air mula surut jam 8 malam.

"Banyak barang yang rosak seperti kabinet televisyen, tilam, katil dan perkakasan rumah yang lain. Paling sedih kasut sekolah anak dihanyutkan air banjir.

Mohd Shahrir menunjukkan tilam yang rosak akibat banjir pada Selasa.
Mohd Shahrir menunjukkan tilam yang rosak akibat banjir pada Selasa.

"Selepas selesai mengemas dan bersihkan rumah sehingga tengah malam, kami terus ambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan barang elektrik di tempat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Ramlah Abdullah, 72, berkata, banjir berlaku pada Selasa merupakan kejadian terburuk selepas 10 kali banjir melanda kawasan kampung sejak Oktober lalu.

"Saya terkejut dengan kejadian banjir yang berlaku semalam agak teruk. Tidak sangka hujan dalam tempoh sejam menyebabkan rumah dinaiki air.

"Hujan sehingga Ahad ditambah fenomena air pasang yang berlaku ketika ini cukup merisaukan sekiranya berlaku banjir lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Lala, 39, berkata, keadaan Sungai Chat yang hampir dengan rumah penduduk semakin cetek menyebabkan kejadian banjir kilat semakin kerap melanda kampung itu.

Noor Ezaini menunjukkan paras air banjir yang berlaku pada Selasa.
Noor Ezaini menunjukkan paras air banjir yang berlaku pada Selasa.

"Jika dahulu pihak berkenaan ada menyelenggara parit dan Sungai Chat, namun sejak tahun lalu tidak nampak parit dan Sungai Chat di belakang kampung ini diselenggara.

"Kampung ini terletak di kawasan rendah sebelah bangunan tinggi dan bukit selain sungai, memang perit keadaan hidup kami setiap kali hujan lebat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!