AUG 2022: Harimau Siswa selangkah cipta sejarah
SKUAD bola sepak negara selangkah untuk mencipta sejarah di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) apabila mara ke perlawanan akhir selepas menamatkan saingan sepusingan di tempat kedua.
Pada perlawanan terakhir pada Selasa, Malaysia tewas 2-1 kepada Laos namun satu gol yang diraih dalam aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu membolehkan skuad negara mara menerusi kelebihan perbezaan jaringan meskipun berkongsi empat mata dengan Laos.
Kejayaan mara ke final menyaksikan skuad Harimau Siswa bakal membuat perhitungan semula dengan juara bertahan yang juga seteru tradisi, Thailand pada aksi yang akan berlangsung Jumaat ini.
Ketua jurulatih bola sepak AUG, Ridzuan Abu Shah nyata gembira dengan kejayaan barisan pemainnya meskipun sedikit bergelut selepas aksi menentang Laos terpaksa ditunda dalam tempoh yang agak lama kerana hujan lebat di hujung babak pertama.
“Ramai pemain tidak beraksi pada tahap terbaik mereka seperti ketika menentang Thailand sebelum ini (seri 2-2). Mungkin mereka terlalu yakin untuk tewaskan Laos.
“Saya bernasib baik kerana memilih untuk menurunkan ramai pemain utama dalam aksi ini. Jika tidak mungkin keputusan sebaliknya boleh terjadi kepada kami.
“Apapun saya berbangga dengan pemain kerana berjaya melayakkan diri ke final. Saya percaya aksi di final nanti akan jauh lebih baik daripada hari ini (Selasa),” katanya.
Dalam aksi itu, Laos berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Akkhom Thoranin sebelum Vanna Bounlovongsa menggandakan kedudukan pada minit ke-57.
Dalam pada itu, Ridzuan mengakui beliau dan barisan kejurulatihan kini sudah mula mencongak strategi awal untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas terdahulu terikat 2-2 dengan Thailand.
"Thailand sudah tahu cara kami bertahan dan menyerang. Jadi kami mungkin akan buat perubahan taktikal untuk memastikan mereka tidak boleh membaca permainan kami.
"Ia bukan mudah kerana kita tahu Thailand adalah sebuah pasukan yang hebat. Mereka juga dapat bangkit untuk seri 2-2 walaupun kita berjaya mendahului dua gol sebelum ini.
"Jadi tempoh rehat yang ada sekarang akan dimanfaatkan sebaiknya supaya dapat menyediakan pasukan yang ampuh dalam misi kita menjuarai perlawanan nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!