Maritim Malaysia rampas 23 set bubu naga
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 23 set bubu naga di dua lokasi berhampiran 1.7 batu nautika barat Penaga, di sini, pada Selasa.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat melalui rutin rondaan OP PERTIWI yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang kira-kira jam 2.03 petang hingga 3.05 petang.
Menurutnya, ketika anggotanya membuat rondaan di dua lokasi terbabit telah mengesan pelampung penanda yang mencurigakan sebelum berjaya menemukan 23 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.
"Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM2,760 dan sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
"Bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.
Abd Razak berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!