Gagal seleweng 4,500 liter diesel
SUNGAI PETANI - Sepasukan anggota penguat kuasa daripada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sungai Petani berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan bahan api di sebuah stesen minyak di sini, pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dibuat pada jam 12 tengah hari di sebuah stesen minyak di Kota Kuala Muda.
Katanya, serbuan itu hasil aduan orang awam dan risikan yang dilakukan sejak seminggu lalu.
"Ketika serbuan dilakukan, terdapat sebuah lori jenis Hino sedang mengisi minyak bersubsidi diesel di stesen terbabit.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat tangki tambahan yang diletakkan dalam lori tersebut. Minyak diesel yang diisi ke dalam tangki kenderaan telah disedut naik dengan menggunakan pam ke dalam tangki tambahan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Katanya, KPDNHEP bertindak menyita lori itu bersama 4,500 liter minyak diesel yang diisi ke dalam tangki tambahan tersebut.
"Minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM9,675 manakala lori tersebut kira-kira RM50,000
"Susulan itu, pemandu lori dan pengurus stesen minyak terbabit ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Affendi menambah, pemandu lori tersebut didapati melakukan kesalahan menyimpan barangan kawalan berjadual (bahan api diesel) tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
"Pemilik stesen minyak pula didapati gagal mematuhi Arahan Pengawal dan Melanggar Syarat Khas Pemegang Lesen Runcit Bahan Api Petrol/Diesel," katanya.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDNHEP juga memberi amaran keras terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak di negeri ini agar mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh kementerian dan tidak sesekali bersekongkol dengan pihak yang berniat untuk melakukan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!