Dewan Rakyat lulus dua RUU berkaitan kastam, duti eksais
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Kastam 1967.
Rang undang-undang yang mengandungi 16 Fasal itu antara lain bertujuan meminda Akta Kastam seksyen 85 (Akta 235) untuk memberi ketua pengarah kuasa bagi menentukan bentuk dan cara suatu akuan apa-apa barang yang dieksport melalui rel yang tidak berduti apabila dieksport.
Pindaan tersebut juga bertujuan untuk membolehkan Menteri Kewangan melanjutkan tempoh untuk melakukan sesuatu perbuatan atau benda yang perlu disempurnakan dalam tempoh tertentu di bawah Akta 235 sekiranya dia berpuas hati bahawa perbuatan atau benda itu tidak dapat disempurnakan dalam tempoh itu disebabkan oleh berlakunya apa-apa kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.
Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa diluluskan selepas lima Ahli Parlimen berbahas.
Yamani Hafez ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata fokus utama pindaan Akta 235 itu adalah untuk membolehkan fasiliti tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam dan krisis kesihatan awam.
"Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 yang dicadangkan ini adalah bertujuan untuk menambah baik perundangan percukaian negara selari dengan perubahan semasa perniagaan.
"Pindaan utama Akta 235 ini adalah berbangkit dari apa yang kita pelajari susulan daripada pandemik COVID-19 yang mana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengehadkan banyak aktiviti dan operasi perniagaan,” katanya.
Ini katanya telah menyebabkan banyak pembayar cukai tidak dapat melaksanakan obligasi mereka di bawah akta tersebut.
Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan memberi Ketua Pengarah Kastam kuasa untuk menentukan bentuk dan cara tuntutan pemulangan balik apa-apa wang yang terlebih bayar atau tersalah bayar, dan memerintahkan supaya dipulangkan balik wang tersebut jika dibuktikan.
Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Yamani Hafez berkata fokus utama pindaan Akta 176 di bawah Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2022 bakal memberi manfaat kepada pembayar cukai dalam menyempurnakan obligasi mereka di bawah akta tersebut.
Pindaan ini juga katanya akan memudahkan pihak industri membuat rujukan secara berpusat bagi borang-borang percukaian.
"Sekiranya terdapat perubahan kepada butiran di dalam borang tersebut, ianya selari dengan peredaran masa dan pengemaskinian borang juga akan lebih mudah dan lebih cepat untuk dilaksanakan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!