Muhammad Azeem syukur, azam kekal momentum dalam 200m
ATLET pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi bersyukur dengan pencapaian diraihnya walaupun impian menaiki podium acara 100 meter (m) lelaki Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia tidak kesampaian.
Muhammad Azeem berkata, beliau berbangga dengan kejayaannya mencapai sasaran utama iaitu ke pentas akhir 100m yang menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat kelima, selain pencapaian bersejarah mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) dalam pusingan awal.
"Bagi saya ini adalah satu pencapaian terbesar bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk sukan olahraga di negara kita. Jadi bagi saya tidak ada apa yang perlu dikecewakan, tiada apa yang perlu disedihkan,” katanya yang berada di Cali ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Pada masa sama, Muhamamd Azeem berkata peluang beraksi di Cali merupakan satu pengalaman berharga dan memberinya semangat untuk terus bekerja keras dalam usaha mencipta lebih banyak kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
Pada saingan final 100m di Stadium Olimpik Pascual Guerrero pagi tadi waktu Malaysia, Muhammad Azeem yang memadam rekod lama kebangsaan 10.18s milik bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan semalam, gagal mengulangi larian terbaik apabila merekodkan 10.14s.
Atlet Botswana, Letsile Tebogo mengungguli saingan itu apabila mencatat 9.91s yang juga merupakan rekod baharu dunia B-20 diikuti Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica yang merekodkan 10.02s di tempat kedua sementara wakil Afrika Selatan Benjamin Richardson ketiga dengan masa 10.12s.
Pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Puripol Boonson dari Thailand yang berusia 16 tahun terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat meskipun mempunyai catatan masa sama dengan Richardson.
Dalam pada itu, Muhammad Azeem sebenarnya masih berpeluang menebus kekecewaan beliau dalam mencipta kejutan dan sejarah tersendiri apabila bakal turun beraksi dalam acara 200m yang dijadual bermula awal pagi esok.
Beliau mempunyai catatan masa peribadi terbaik 20.89s yang dianggap masa kedua terpantas dalam sejarah acara 200m negara iaitu selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dilakukan pada 2019.
"Untuk acara 200m ramai pelari yang bagus terutama Boonson yang merupakan antara pelari pilihan dalam acara ini tapi bagi saya cuma nak buat yang terbaik. Saya tak meletakkan apa-apa sasaran untuk kalahkan sesiapa, saya cuma bertanding dengan diri sendiri,” kata atlet kelahiran Perak itu.
Sementara itu, jurulatihnya Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah ternyata bangga dengan pencapaian dan prestasi yang ditampilkan anak buahnya selain mengesahkan Muhammad Azeem turut mencipta sejarah menjadi atlet dari Malaysia pertama beraksi di pentas akhir 100m kejohanan itu.
"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Azeem, bukan satu perkara yang mudah untuk berada dalam kalangan lima teratas bagi kategori remaja dunia, saya amat berbangga.
"Kalau berdasarkan analisis (catatan 10.09s) boleh menang gangsa, cuma pada saya di peringkat akhir atlet mana yang dapat memberikan prestasi terbaik dia lah akan menang. Walau macam mana pun saya tetap bersyukur,” katanya.
Beliau berkata, bagi acara 200m, sasaran utama yang dipersetujui antara beliau dan Muhammad Azeem adalah melayakkan diri ke saingan akhir sementara kejayaan membawa pulang pingat ataupun mencatat rekod baharu kebangsaan merupakan bonus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!