PRU15: PKR mampu tawar pakatan politik tarik sokongan rakyat

Saifuddin ketika Program Bersama Johan Jaafar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Saifuddin ketika Program Bersama Johan Jaafar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu tawarkan sebuah pakatan politik yang dapat menarik sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, beliau optimis PKR masih mempunyai kelebihan dari segi pengurusan dinamik pakatan politik jika dibandingkan dengan gabungan politik lain pada masa kini.

"Kalau namanya gabungan politik, ia bukan sesuatu yang mudah menguruskan perbezaan baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), apatah lagi Pakatan Harapan (PH).

"Saya berpendapat dinamik menguruskan pakatan politik itu ada cabarannya tetapi kalau tanya saya mengenai langkah menuju PRU15 berbanding dengan pakatan politik yang ada pada saat ini, dengan latar belakang masalah pasca 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Covid-19 dan lain-lain, saya masih optimis bahawa kami mampu menawarkan sebuah pakatan politik yang dapat menarik sokongan dan imaginasi rakyat sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bersama Johan Jaafar di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH berkata, gabungan itu turut menawarkan tiga perkara utama kepada rakyat dalam PRU15 akan datang.

Menurutnya, antara perkara tersebut adalah pembanterasan terhadap gejala rasuah, penstrukturan semula ekonomi serta memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial.

"Saya fikir pendekatan 'problem solution' (masalah penyelesaian) adalah jauh lebih penting dan dominan dalam pendekatan kempen pembangkang kali ini berbanding dengan 1MDB.

"Hal yang saya ungkapkan ini adalah hasil daripada temu rapat yang kita buat di peringkat PKR," katanya.

Jelasnya, dalam pertemuan tersebut, Presiden parti meminta semua ahli memberikan pandangan mengenai isu besar yang patut PKR tangani bagi memastikan kemenangan dalam PRU15.

"Kami dapat timbunan isu, kemudian bila kita pilih majoritinya bercakap soal pembanterasan rasuah, penstrukturan ekonomi dan memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!