RUU Antilompat Parti: Negeri Sembilan sedia buat sidang khas

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri bersedia untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan pelaksanaan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sidang khas itu bagaimanapun bergantung kepada tempoh RUU tersebut diwartakan di peringkat kerajaan pusat.

"Taklimat mengenai RUU itu telah diberikan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebulat suara bersetuju, ia dibentangkan di DUN seberapa segera yang boleh.

" Jika cepat ia diwartakan, maka cepatlah kita buat dan kalau perlu buat sidang khas, kita akan buat. Kalau tidak, paling lewat pun semasa sidang DUN Belanjawan nanti. Ikut kesesuaianlah," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, pada Rabu.

Aminuddin sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan Negeri Sembilan tiada masalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan RUU Antilompat Parti dikuatkuasakan.

Katanya, agenda pindaan itu tidak akan dibawa pada DUN Negeri Sembilan yang dijadual pada minggu hadapan sebaliknya pada sidang DUN Belanjawan Negeri Sembilan yang dijangka pada penghujung bulan Oktober nanti.

Sementara itu, Aminuddin berkata persidangan DUN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 9 Ogos ini.

" Antara fokus utama dalam persidangan itu nanti adalah membincangkan langkah menangani kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini.

“Pastinya ada usul daripada ADUN mengenai kos sara hidup selain pelantikan Senator sebab sekarang ada satu kekosongan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan Aminuddin berkata, semua agensi keselamatan termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian banjir berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!