Enakmen antilompat parti Pulau Pinang sah, berperlembagaan

Tengku Maimun Tuan Mat
Tengku Maimun Tuan Mat
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Rabu memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Pada 12 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.

DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun berkata, peguam perayu telah berhujah bahawa undang-undang tidak boleh menjejaskan hak mereka untuk berpersatuan seperti dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan dalam hal ini, pergantungan ketara diletakkan ke atas keputusan Mahkamah Agung dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & satu lagi melawan Nordin Salleh & satu lagi.

Beliau berkata, bagaimanapun, peguam responden pula berhujah enakmen Perkara 14A adalah bagi menangani isu berkaitan kelayakan keahlian DUN iaitu perkara yang dibincang dalam Jadual Lapan Perlembagaan Persekutuan dan setiap DUN diberi kuasa untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing untuk menangani isu tersebut.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata, keupayaan seorang ADUN menukar keahlian parti politik atas apa jua alasan, tidak termasuk dalam hak peribadi seorang warganegara untuk berpersatuan sebagaimana yang dibayangkan dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Kami berpendapat bahawa syarat kelayakan bagi keahlian DUN adalah perkara yang berkaitan dengan demokrasi berparlimen dan tidak melibatkan hak peribadi individu yang dipilih sebagai wakil rakyat atau pilihan untuk berpersatuan dengan parti politik tertentu atau pihak di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Atas alasan-alasan ini, kami mendapati kes Nordin Salleh yang menyatakan bahawa wakil rakyat berhak menukar parti politik sebaik sahaja dipilih sebagai hak berpersatuan di bawah Perkara 10(1)(c) adalah tidak tepat dari segi perlembagaan. Justeru, keputusan dalam kes Nordin Salleh berkaitan isu ini adalah diketepikan," katanya.

Tengku Maimun berkata, mahkamah berpandangan bahawa sebaik sahaja seorang wakil rakyat menang atas tiket parti politik yang dipilihnya, ini bermakna beliau telah menggunakan hak berpersatuan dengan bertanding atas tiket parti politik itu.

"Sebaik berada di Parlimen atau DUN, sifat berpersatuan seorang wakil rakyat adalah berbeza kerana beliau kini tertakluk kepada parti politik yang telah dipilih untuk bertanding selepas menerima mandat daripada pengundi yang mengamanahkan jawatan itu kepadanya,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu pada prosiding secara dalam talian pada Rabu.

Panel itu turut mengarahkan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang meneruskan perbicaraan kes tersebut selaras dengan penghakiman hari ini atau mengikut lunas undang-undang.

Perayu diwakili peguam Datuk DP Naban, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani dan Siva Kumar Kanagasabai manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili responden. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!