Rafizi ajak rakyat sumbang idea, kepakaran gubal dasar
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengajak masyarakat Malaysia tampil menyumbangkan idea dan kepakaran untuk membina kerangka dasar yang boleh dibawa kepada rakyat.
Beliau berkata, masalah utama rakyat yang digagaskan dalam lima kelompok isu sebelum ini memerlukan pendekatan yang lebih radikal dan futuristik.
Menurutnya, negara memerlukan idea-idea untuk dijadikan dasar yang lebih praktikal, berteknologi dan membawa rakyat ke arah masyarakat moden yang tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah.
"Usaha ini akan melibatkan proses saringan sukarelawan yang menawarkan diri untuk menyertai kumpulan dasar bagi setiap isu dan mereka akan diagihkan mengikut kumpulan masing-masing.
"Selain itu, ia turut melibatkan proses membangunkan dasar dan program khusus termasuk menganggarkan kos pelaksanaan serta pindaan kepada akta dan peraturan sedia ada untuk melancarkan pelaksanaan.
“Seterusnya, sesi ‘pitching’ iaitu menjelaskan kerangka idea dan pelan pelaksanaan kepada orang ramai di bandar-bandar utama seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Rafizi berkata, Malaysia kini berada di persimpangan yang sangat kritikal di mana bukan sahaja ruang kewangan negara semakin sempit akibat salah urus dan sektor ekonomi yang semakin mencabar.
Malah katanya, masalah-masalah yang membebankan rakyat tidak lagi boleh diselesaikan dengan kerangka dan pendekatan pemikiran yang sama.
“Misalnya masalah kenaikan harga barang yang berlaku sejak lebih sedekad lalu. Kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 sebenarnya banyak berpunca daripada kenaikan mendadak harga barang sehingga BN disamakan dengan jolokan ‘barang naik’.
“Namun, selama lebih sedekad, pendekatan UMNO/BN (yang menjadi kerajaan sepanjang 2008 hingga 2022 kecuali 2018 ke 2020) tetap sama.
“Apabila kemarahan rakyat memuncak, ada campur tangan di sana secara tidak terancang (ad hoc) yang tidak menyelesaikan masalah punca kepada krisis kenaikan harga barang,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi individu yang berminat untuk mendaftar boleh layari https://ayuhmalaysia.org/expert-contribution dan menyertai kumpulan sukarelawan rakyat yang membangunkan dasar-dasar tersebut.
“Satu bengkel utama yang mengumpulkan semua tenaga pakar yang tampil akan dianjurkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
“Setakat pendaftaran dibuka 12 jam lalu, lebih 100 tenaga profesional pelbagai bidang telah mendaftar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!