Lawatan Pelosi jejas keamanan, kestabilan Selat Taiwan
BEIJING - Lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan disifatkan melanggar prinsip ‘Satu China’ dan ‘Tiga Penyataan bersama China-AS’, serta memberi impak serius kepada asas politik hubungan kedua-dua negara.
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan pada Selasa membantah keras lawatan itu dan menyifatkannya sebagai satu tindakan mencabul kedaulatan dan keutuhan wilayah China, merosakkan kedamaian dan kestabilan Selat Taiwan, di samping memberi mesej salah kepada puak pemisah untuk ‘kemerdekaan Taiwan’.
Menurut kenyataan itu, hanya terdapat satu negara China di dunia ini, dan Taiwan merupakan sebahagiannya serta tidak boleh dipisahkan dari wilayah China manakala kerajaan Republik Rakyat China pula adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh negara China.
"Kesemua ini telah dimuktamadkan dalam resolusi No.2758 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
"Sejak tertubuhnya Republik Rakyat China pada 1949, sebanyak 181 negara telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara ini berdasarkan prinsip Satu China yang disifatkan sebagai konsensus masyarakat antarabangsa dan norma asas hubungan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Seperti yang termaktub dalam Pengumuman Jalinan Hubungan Diplomatik China-AS pada 1979, kerajaan AS mengiktiraf kerajaan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan sah yang mewakili China.
"Dalam konteks ini, Washington hanya boleh menjalin hubungan tidak rasmi dengan Taiwan.
"Sebagai komponen dalam kerajaan AS, Kongres AS sepatutnya berpegang kepada prinsip Satu China dan tidak melakukan sebarang pertukaran lawatan rasmi dengan kawasan Taiwan China,” memetik kenyataan itu.
Sebagai dua kuasa besar, China dan AS perlu mengamalkan sikap saling menghormati, hidup bersama secara damai, dan mengelakkan konfrontasi bagi mewujudkan situasi sama menang.
Menurut kenyataan itu, isu Taiwan merupakan urusan dalaman China dan sebarang negara lain tidak berhak menjadi pengadilnya.
"AS didesak supaya menghentikan amalan mengekang China dengan memainkan isu Taiwan, campur tangan terhadap urusan dalaman China dan tidak menyokong puak pemisah untuk 'kemerdekaan Taiwan', serta sokongan dalam apa jua bentuk kepada puak pemisah untuk ‘kemerdekaan Taiwan’.
"AS juga perlu bertindak secara praktikal berdasarkan prinsip Satu China dan peraturan dalam Tiga Penyataan bersama China-AS, serius menepati komitmen pemimpin AS untuk tidak mencetuskan ‘perang dingin baharu’, mengubah sistem China atau menentang China menerusi pengukuhan ikatan sekutu, serta tiada niat untuk berkonflik dengan China,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!