25 PATI disumbat dalam Vellfire
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang remaja 17 tahun menyumbat 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) umpama 'tin sardin' membawa padah apabila dia ditahan selepas gagal meloloskan diri di Jalan Selinsing di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, MPV mewah jenis Toyota Vellfire itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh unit peronda di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching di sini sekitar jam 12.05 tengah hari.
"Pihak polis telah mengejar MPV tersebut dan apabila sampai di Jalan Selinsing, ia telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh anggota polis yang sedang mengejar kenderaan itu.
"Suspek turut melanggar tiga buah kenderaan orang awam semasa cuba meloloskan diri. Rakan subahat suspek berjaya melarikan diri semasa kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek seorang lelaki tempatan mengaku kenderaan itu disediakan oleh rakannya yang berjaya melarikan diri.
Katanya, identiti suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
"Kenderaan itu tidak dilaporkan hilang di mana-mana tetapi menggunakan nombor pendaftaran palsu. Pemandu yang ditangkap tidak tahu menahu asal usul kenderaan tersebut yang mana menurutnya ia diuruskan oleh suspek yang melarikan diri," katanya.
Eng Lai berkata, kedua-dua suspek dipercayai mengambil kesemua PATI warga Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun di sekitar Rantau Panjang kira-kira jam 3 pagi pada Selasa sebelum dibawa ke ibu negara untuk mencari kerja.
Katanya, setiap PATI dikenakan bayaran sebanyak RM6,000 setiap seorang oleh tekong untuk diseludup masuk ke dalam negara.
"Kesemua individu direman bermula Rabu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!