Empat premis makanan menjijikkan diarah tutup
GEORGETOWN - Empat premis makanan termasuk sebuah restoran nasi kandar yang terkenal dengan hidangan mi goreng diarah tutup selepas mengabaikan aspek kebersihan ketika menjalankan perniagaan.
Arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa pegawai Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Rabu.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBPP, M Bawani berkata, hasil pemeriksaan dibuat mendapati keadaan lantai dapur memasak kotor, manakala perkakasan lama turut tidak dibuang dengan sempurna.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati perangkap minyak dan sisa makanan juga tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air melimpah di lantai dapur.
"Paling menjijikkan kita menemukan najis tikus di bahagian hadapan, ruang makan, tempat penyimpanan barang, almari penyimpanan perkakas dan dapur memasak.
"Walaupun pernah dikenakan tindakan dan diarahkan tutup, namun kita dapati premis terbabit masih tidak melakukan peningkatan kebersihan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Rabu.
Bawani berkata, kesemua empat premis yang diperiksa diberi notis penutupan selama 14 hari mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 1991.
Sementara itu, pemeriksaan di premis nasi campur serta restoran nasi daun pisang di Jalan Utama di sini, mendapati tikus dan lipas berkeliaran di bahagian dapur memasak serta tandas.
Bawani berkata, restoran nasi daun pisang itu sudah lebih lima kali dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan berhubung kebersihan, namun masih tidak menunjukkan perubahan.
“Pemeriksaan di premis makanan nasi campur pula membawa kepada penemuan puluhan anak lipas di tempat penyimpanan cili kisar,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap semua premis mendapati pemiliknya tidak melakukan kerja kawalan serangga sehingga menyebabkan urungan nyamuk, tikus dan lipas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!