Dewan Rakyat lulus dua RUU berkaitan zon bebas, cukai pelancongan

Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan dua RUU berkaitan zon bebas dan cukai pelancongan.
Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan dua RUU berkaitan zon bebas dan cukai pelancongan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Zon Bebas (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Zon Bebas 1990.

Rang Undang-undang yang mengandungi dua Fasal itu antara lain bertujuan meminda Akta Zon Bebas 1990 (Akta 438) untuk menyediakan fasilitasi kepada industri sekiranya ada keperluan untuk mengubahsuai terma dan syarat berdasarkan keperluan pembayar cukai dan tidak akan memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

RUU Zon Bebas (Pindaan) 2022 yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa diluluskan selepas sembilan ahli Parlimen berbahas.

Yamani Hafez berkata, pindaan tersebut untuk memasukkan dua pindaan baharu bagi memberi kelonggaran kepada industri dan perniagaan serta obligasi dalam tempoh tertentu dalam kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

"Sebagai contoh, orang yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak zon bebas untuk mendapatkan kebenaran di bawah peraturan-peraturan zon bebas 1991 boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan pihak berkuasa zon.

"Dengan adanya peruntukan baharu mengenai lanjutan tempoh ini, sekiranya ada berlaku kecemasan awam atau krisis kesihatan awam pada masa akan datang, Menteri Kewangan boleh memberi lanjutan tempoh kepada pihak yang memerlukan,” katanya.

Dewan Rakyat pada Rabu turut meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan memberi Menteri Kewangan kuasa untuk menetapkan butir-butir dalam invois atau resit di bawah akta ini.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Yamani Hafez berkata, pindaan kepada akta 791 di bawah Akta Cukai Pelancongan 2017 (Pindaan) 2022 ini membolehkan tempoh masa penghantaran cukai penyata pelancongan dilanjutkan untuk suatu tempoh tertentu.

"Akta 791 telah menetapkan bahawa bayaran hendaklah dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tamat tempoh bercukai. Bagaimanapun, jika terdapat krisis kesihatan seperti pandemik dan pihak industri tidak dapat membuat pembayaran dalam tempoh yang dikenakan, mereka akan dikenakan penalti.

"Dengan adanya peruntukan baharu ini, sekiranya berlaku kecemasan atau krisis kesihatan awam pada masa akan datang, menteri boleh melanjutkan tempoh tersebut melalui pengumuman rasmi atau arahan kepada ketua pengarah,” katanya.

Ia sekali gus memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat semakan semula dan membuat bayaran tanpa penalti walaupun tempoh peruntukan tersebut telah berakhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!