Dewan Rakyat lulus RUU Levi Pelepasan, Levi Kenderaan Barang-barang

Mohd Shahar - Foto Bernama
Mohd Shahar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-udang Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813).

Rang undang-undang yang mengandungi dua fasal ini memasukkan dua peruntukan baharu bagi menambah baik levi pelepasan melalui fasilitasi tertentu yang diberikan kepada pembayar cukai khususnya semasa berlakunya kecemasan awam seperti bencana alam.

RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan dibahas oleh tiga ahli Parlimen.

Mohd Shahar berkata, pindaan RUU tersebut melibat dua fasal termasuk peruntukan kuasa kepada Menteri Kewangan untuk melanjutkan tempoh sebelum tamat tempoh yang ditetapkan di bawah Akta 813.

"Dengan adanya peruntukan baharu ini, sekiranya berlaku kecemasan atau krisis kesihatan awam di masa akan datang, Menteri Kewangan boleh melanjutkan tempoh penghantaran penyata dan bayaran levi melebihi 30 hari.

"Jika terdapat kekangan untuk membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau penutupan operasi perniagaan, lanjutan tempoh boleh diberikan sebagai kelonggaran untuk pihak industri membayar levi tanpa dikenakan levi lewat bayar," katanya.

Dewan Rakyat pada Rabu turut meluluskan Levi Kenderaan Barang-barang (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan memberi Menteri Kewangan kuasa melanjutkan tempoh urusan di bawah Akta 294 mengikut budi bicara dan keperluan tertentu seperti apa-apa kecemasan awam atau krisis kesihatan awam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!