Shereen mahu pastikan layak ke Paris 2022

Shereen gagal ke peringkat seterusnya selepas mendapat tempat keenam pada pusingan pertama saringan ketiga di Stadium Alexander pada rabu. - Foto Bernama
Shereen gagal ke peringkat seterusnya selepas mendapat tempat keenam pada pusingan pertama saringan ketiga di Stadium Alexander pada rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS impiannya beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Kejohanan Olahraga dunia di Oregon Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini tercapai, atlet 400 meter (m) kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy kini mahu layak ke Sukan Olimpik 2024.

Walaupun beliau gagal mencatatkan masa terbaik di Stadium Alexander selepas mencatatkan masa 53.92 saat (s) dan menduduki tempat keenam pada Saringan Tiga di sini, beliau amat gembira kerana berpeluang untuk beraksi bersama atlet elit di sini yang tentunya mampu berikan pengalaman bertanding pada peringkat tertinggi.

"Ya, impian saya ialah untuk bertanding di Sukan Olimpik dan juga Sukan Asia di Hangzhou tahun hadapan, dan apa yang boleh saya lakukan ialah fokus pada latihan saya untuk layak ke sana.

"Satu perasaan yang bagus untuk bersama atlet elit di sini dan saya percaya ia (Birmingham 2022) akan menjadi pengalaman yang baik untuk masa hadapan,” katanya kepada Bernama di sini.

Keputusan pada Rabu menyaksikan cabaran Shereen tersekat di temasya ini, kerana hanya tiga pelari terbaik daripada setiap saringan layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, atlet berpangkalan di AS itu sedih kerana tidak dapat memecahkan rekod peribadinya sendiri 52.68s yang dicatatkannya di kejohanan trek dan padang Divisyen II, NCAA AS pada Mei lepas selain rekod berusia 29 tahun, 52.62s yang dicatatkan Allahyarham Rabia Abdul Salam.

"Saya telah berikan yang terbaik, tetapi saya rasa perlu kerja lebih keras lagi untuk capai sasaran saya dalam catatkan masa peribadi terbaik dan rekod kebangsaan,” katanya.

Ditanya mengenai kejohanan beliau selepas ini, Shereen berkata, beliau kini akan fokus kepada pemulihan dan bina semua momentumnya untuk lebih kuat seawalnya awal tahun depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!