Skuad catur negara diam-diam ubi berisi
DIAM-DIAM berisi. Itu ungkapan paling tepat buat skuad catur negara pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang sudah memasuki hari kesembilan pada Rabu.
Reputasi mereka mungkin tidak ‘seglamour’ sukan-sukan lain malah sentiasa bersikap ‘low profile’ dalam setiap temasya sukan besar yang mereka sertai.
Namun, pada AUG kali ini barisan pemain skuad kendalian ketua jurulatih, Mohd Ezmi Mahmood itu membuktikan bahawa mereka mampu menjadi sandaran negara jika terus diberi perhatian sewajarnya, sepertimana dinikmati sukan-sukan lain.
Bumi Ubon Ratchathani menjadi bukti terhadap kecemerlangan skuad catur negara apabila mereka menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan pada temasya AUG 2022 ini.
Lebih menarik, sebelum bermulanya temasya AUG ini, Ezmi dengan tegas menyatakan bahawa kehadiran mereka di Ubon Ratchathani adalah untuk menang dan sikap seperti itu harus ada pada semua pemain.
“Kita hrus berjuang untuk menang. Kalah atau menang ketika berjuang dalam temasya sukan besar seperti ini adalah perkara kedua. Yang penting, kita harus ada keyakinan untuk menang,” tegas Ezmi.
Impiannya berjaya disempurnakan dengan baik oleh barisan pemain catur negara yang telah merekodkan kejayaan luar biasa di bumi Siam ini.
Hari cemerlang skuad catur itu bermula apabila Rohan Shan Tze Navaratnam muncul juara kategori International individu selepas memungut enam mata setelah menewaskan rakan sepasukannya, Muhammad Faqih Aminuddin yang mencatat 5-5 mata pada aksi final.
Emas kedua hadir menerusi Tan Li Ting dalam kategori International individu apabila memungut lima mata, mengatasi rakan sepasukannya Chua Jia Tien yang turut memungut lima mata untuk menamatkan saingan dengan pingat perak.
Dua lagi emas skuad catur disumbangkan pasukan lelaki dan wanita dalam kategori International berpasukan yang diperkuatkan Amir Ghaazi Mohd Saprin, Muhammad Faqih, Emir Rusyaidi Ahmad Nazari, Di Xu Wei dan Rohan Shan Tze manakalan pasukan wanita digalas Ada Suriana Abdul Razak, Rosamund Koo Wei Xin, Tan Li Ling, S. Nithyalakshmi dan Chua Jia Tien.
“Alhamdulillah, hari ini kita telah mencipta sejarah gemilang buat sukan catur tanah air. Kita berjaya menyapu bersih semua pingat yang dipertandingkan pada temasya AUG kali ini.
“Tahniah kepada semua pemain saya yang telah menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang temasya ini. Saya sangat gembira dengan pencapaian yang dilakar oleh semua pemain,” tegas Emir.
Selain empat emas yang disumbangkan oleh skuad catur, skuad silat turut tampil cemerlang apabila menghadiahkan satu lagi emas buat kontinjen negara.
Emas tunggal daripada skuad silat pada hari kedua acara tersebut hari ini diraih menerusi Nur Adilah Mohammad Zamri yang menjuarai kategori Putri kelas D.
Nur Adilah mencatat kemenangan 5-0 ke atas pencabarnya, Uttamasrikhan Rutrawee di final.
Acara rowing turut tampil cemerlang dengan pencapaian satu emas yang diperoleh menerusi Mohamad Amirul Norhadi dalam acara 100 meter lightweight individu scull lelaki.
Sukan wushu pula menyumbang dua pingat perak dan dua gangsa menerusi Tan Cheong Wan dalam acara Changquan Lelaki dan Chuah Shang Yang (Nangquan wanita) manakala gangsa pula disumbangkan Ang Qi Yue (changquan lelaki) dan Calvin Lee Wai Leong (nangquan lelaki).
Skuad taekwondo pula yang bermula cemerlang pada saingan pada Selasa menamatkan saingan dengan pencapaian satu pingat perak menerusi Muhammad Luqman Hakim Mohd Suhaimi yang beraksi dalam acara middleweight lelaki.
Petanque pula mengakhiri perjuangan mereka dengan satu perak dan satu gangsa yang diperoleh menerusi Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dalam acara beregu campuran serta Nurashimah Senin dan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dalam acara doubles wanita.
Kontinjen negara kini sudah mengumpul 42 emas, 65 perak dan 31 pingat gangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!