Perdana Menteri hadir majlis Apresiasi KDN

Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri malam ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini menghadiri majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri.

Ketibaan beliau pada jam 8.30 malam di sebuah hotel di sini disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Turut hadir, Ahli-ahli Parlimen yang diraikan termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Turut hadir, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang hadir, Hamzah dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan yang dianjur atas permintaan Perdana Menteri sendiri, adalah bagi meraikan kelulusan dua rang undang-undang dan satu usul pelanjutan yang dibawa pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

"Pada sesi ini (Dewan Rakyat) buat pertama kalinya mungkin, Kementerian Dalam Negeri bukan hanya melengkapkan segala apa yang dipohon, tetapi dapat capai kejayaan, ini semua atas kerjasama semua,” katanya dalam ucapan ringkas.

Dua rang undang-undang yang dilulus termasuk Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pindaan) 2021 bagi pembubaran Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) yang diluluskan dengan lebih suara menyokong pada 18 Julai lepas.

Juga Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang dilulus dengan lebih suara menyokong pada 26 Julai.

Pada hari sama, turut diluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747), untuk terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai.

Usul Subseksyen 4(5) SOSMA itu diluluskan selepas undi belah bahagian, dengan menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 Ahli Parlimen tidak bersetuju, manakala 21 lagi Ahli Parlimen tidak hadir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!