Kelantan United gagal manfaat kelebihan di laman sendiri
KELANTAN United FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Rabu.
Skuad tuan rumah bermula garang apabila hanya memerlukan 12 minit untuk membuka akaun gol menerusi Mohammad Amirul Shafik Che Soh apabila bijak menolak masuk bola hasil gerakan solo pemain import Njoku Jacob dari sebelah kiri pertahanan lawan.
Kelantan United terus merancakkan gerakan serangan bagi melebarkan jurang menerusi hantaran pendek dalam kawasan JDT II sebelum pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan yang menyaksikan percubaan Gabrial Nistelrooy diselamatkan penjaga gol Mohammad Fikri Che Soh dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-34.
Bersambung babak kedua, JDT II yang lebih menguasai perlawanan menggandakan asakan sementara Kelantan United menampilkan disiplin bertahan tinggi untuk mengekang setiap asakan.
Namun, hasrat tuan rumah mengutip tiga mata penuh dimusnahkan pemain pertahanannya Evan Wensley yang tertanduk bola masuk ke gawang sendiri pada masa tambahan babak kedua sekali gus kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!