RUU Anti Lompat Parti bantu lahirkan pemimpin berintegriti
SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan pada Khamis lalu.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat untuk bertindak melompat parti dengan undi majoriti dua pertiga Ahli Dewan merupakan satu kejayaan dalam mengekang perbuatan mengkhianati mandat rakyat.
Menurutnya, perkembangan positif itu adalah satu langkah penting ke arah mematangkan proses demokrasi di negara ini.
"Ia juga diharap dapat membantu membina semula kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia.
"Dengan komitmen semua Ahli Dewan Rakyat dan parti-parti politik, Ikram percaya peruntukan ini dapat membantu ke arah melahirkan kepemimpinan negara yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Beliau menegaskan, kepemimpinan yang cekap dan berintegriti adalah prasyarat penting untuk sesebuah negara mencapai kejayaan dan mensejahterakan rakyat.
Jelasnya, perkara tersebut selari dengan salah satu ciri 'negara rahmah' yang digariskan oleh pertubuhan itu terhadap kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.
Katanya, semangat tolak ansur dan kesediaan Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk berunding bagi mencapai kesepakatan sebelum RUU itu diluluskan wajar diamalkan secara konsisten sebagai amalan demokrasi terbaik di negara ini.
"Amalan ini selaras dengan ciri membudayakan amalan syura yang membuka ruang luas untuk penilaian semula ketetapan dan peraturan agar lebih relevan dan berimpak.
"Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan merupakan salah satu ciri penting untuk kemajuan negara dan rakyat, selari dengan ciri negara rahmah yang diimpikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!