Tembak pekerja McDonald's kerana hidang kentang sejuk

Michael Morgan ditangkap selepas didakwa menembak seorang pekerja McDonald's di Brooklyn pada Isnin lalu. - Foto FreedomNewsTV
Michael Morgan ditangkap selepas didakwa menembak seorang pekerja McDonald's di Brooklyn pada Isnin lalu. - Foto FreedomNewsTV
A
A
A

NEW YORK - Seorang lelaki di New York didakwa dengan cubaan membunuh selepas menembak seorang pekerja McDonald's kerana menghidangkan kentang goreng sejuk kepada ibunya, kata polis dan laporan media.

Dalam kes terbaru itu, lelaki tersebut, Michael Morgan, 20, menembak pekerja McDonald's berusia 23 tahun di Brooklyn, New York pada Isnin, menurut polis dan New York Post.

Mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Insiden itu bermula dengan pertengkaran antara seorang wanita berusia 40 tahun dan mangsa yang didakwa memberinya kentang goreng sejuk, kata tabloid itu.

Wanita itu membuat panggilan video kepada anaknya, Morgan yang menyerbu rangkaian makanan segera dan bertengkar dengan pekerja itu sebelum mereka berdua keluar.

Morgan kemudian menembak pekerja itu, menurut sumber polis yang dipetik oleh New York Post.

Tertuduh ditahan beberapa kali atas pelbagai jenayah, kata akhbar tabloid itu.

Morgan juga didakwa dengan tuduhan memiliki senjata api, kata jurucakap Jabatan Polis New York kepada AFP. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!