Perak sedia tambah elaun Muhammad Azeem

Khairul Shahril (berdiri, kiri) bersama Norali (berdiri, kanan) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman yang dibuat sempena Majlis Pelancaran Putik, Program SIL dan Aplikasi Stopover di Hotel M Roof, pada Khamis.
Khairul Shahril (berdiri, kiri) bersama Norali (berdiri, kanan) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman yang dibuat sempena Majlis Pelancaran Putik, Program SIL dan Aplikasi Stopover di Hotel M Roof, pada Khamis.
A
A
A

KERAJAAN Perak akan terus memberikan komitmen kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi termasuk menambah elaun bagi memastikan prestasi atlet tersebut pada tahap terbaik.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak sudah diarahkan untuk memberi segala bentuk bantuan diperlukan atlet tersebut.

Menurutnya, Muhammad Azeem juga menyatakan komitmen untuk terus bersama kontinjen Perak.

"Saya sudah minta kepada MSN untuk memperhalusi beberapa komitmen yang perlu kita laksanakan dengan beliau walaupun dia akan berlatih di luar negara atau belajar di luar negara, tetapi komitmen MSN dengan Azeem mesti diteruskan.

"Sebelum ini elaun, saya kata wajib kita teruskan kalau perlu ada penambahan, kita akan pertimbangkan sebab kita nak Azeem berada bersama dengan kontinjen Perak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Usahawan Teknologi, Inovasi dan Kreativiti Kinta Perak (Putik), Program SIL dan Aplikasi Stopover di Hotel M Roof, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Putik, Norali Nordin.

Beliau berkata, pihaknya juga turut mencadangkan agar Muhammad Azeem melanjutkan pengajian ke luar negara bagi membolehkan atlet berusia 18 tahun itu mendapat pendedahan lebih baik.

Jelasnya, kerajaan negeri sedia berbincang dengan keluarga Muhammad Azeem berkaitan bentuk komitmen yang diperlukan jika berhasrat ke luar negara.

Sementara itu, Khairul Shahril menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk menaik taraf balapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini yang menjadi pusat latihan kepada atlet-atlet olahraga negara.

Menurutnya, keputusan tersebut dilihat amat wajar supaya keadaan fasiliti sedia ada tidak menjadi penghalang atlet untuk meningkatkan prestasi.

"Pagi semalam (Rabu) saya menghubungi Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) berkaitan dengan trek balapan di SMK Gunung Rapat. Sebenarnya kita dah mohon lama untuk naik taraf trek itu dan menteri bagitahu dia dah luluskan untuk menaiktaraf trek berkenaan.

"Ramai atlet-atlet negara ada di situ berlatih, jadi kalau perkara asas kita tak selesaikan, ini akan beri impak yang besar kepada kita," katanya.

Pada Rabu, Ahmad Faizal memaklumkan KBS sedang menimbangkan untuk menaik taraf trek balapan SMK Gunung Rapat bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga.

SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan ramai atlet termasuk Muhammad Azeem.

Untuk rekod, Muhammad Azeem mencipta sensasi tersendiri pada Selasa apabila memenangi avara saringan dengan catatan 10.09s yang sekali gus memecahkan rekod kebangsaan milik atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dicatatkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak, 2016 lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!