AUG 2022: Skuad memanah nekad bangkit pada edisi depan

Trio negara, Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil antara penyumbang pingat emas bagi kem memanah di temasya AUG 2022.
Trio negara, Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil antara penyumbang pingat emas bagi kem memanah di temasya AUG 2022.
A
A
A

WALAUPUN gagal mencapai sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, skuad memanah negara masih boleh mendabik dada apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi acara terbabit.

Pengurus pasukan memanah AUG, Suhardi Abdullah berpandangan, anak buahnya sudah memberikan aksi yang terbaik cuma rezeki tidak berpihak buat mereka untuk menuai lima emas yang disasarkan sebelum ini.

Malah beliau turut yakin skuad memanah bakal bangkit lebih baik pada pada edisi hadapan dan pihaknya akan mempergiatkan usaha bagi melahirkan lebih ramai pemanah dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

“Atlet kita sudah memberikan yang terbaik, cuma rezeki tidak berpihak kepada kita. Apapun, keputusan ini tetap membolehkan kita mengekalkan status sebagai juara keseluruhan untuk acara memanah di AUG.

“Program tetap diteruskan untuk membangunkan lagi lebih ramai pemanah dari institut pengajian tinggi (IPT). Kita akan bangkit dengan lebih kuat pada temasya akan datang,” katanya.

Sebelum ini,‘panahan’ skuad memanah negara pada temasya AUG 2022 sedikit 'tersasar’ apabila hanya berjaya merangkul empat pingat walaupun mara dalam 10 acara final.

Emas pertama dihadiahkan dalam acara recurve berpasukan wanita yang dibarisi Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Hanessha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil yang menumbangkan trio dari Thailand, Tundon Amornratanabongkod Tundon, Tapaneeya Silawong dan Natthakan Jantima menerusi keputusan 6-2.

Gandingan Ahmad Afiq-Syaqiera memastikan pingat emas kedua dalam acara recurve berpasukan dan Muhamad Zarif Syahiir ZolkepelI menumbangkan Prastyadi Alviyanto Bagas untuk emas recurve individu lelaki dengan keputusan 6-2.

Bagi aksi compound, pingat emas dihadiahkan trio dibarisi Iman Aisyah Norazam, Kayalvhily dan Nuraqilah Khairul mengetepikan wakil tuan rumah, Nichaphat Bunyapalin, Kodchaporn Pratumsuwan serta Kamonchanok Naengnoi 229-227 untuk pingat emas acara compound berpasukan wanita.

Secara keseluruhan, skuad memanah negara menghadiahkan empat pingat emas, lima pingat perak dan satu pingat gangsa bagi temasya kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!