KPN pertahan tindakan anggota URB
JOHOR BAHRU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertahankan tindakan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, yang melepaskan tembakan ke atas seorang lelaki di sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Menurutnya, dalam keadaan tersebut, agak sukar untuk anggota terbabit mengelakkan diri daripada mengambil tindakan mempertahankan diri kerana hendak ditikam oleh suspek berkenaan.
“Demi menyelamatkan diri, kalau tak dia pun mati, ada kemungkinan dia pun mati ditikam diserang oleh pesalah berkenaan, jadi beliau terpaksa melakukan tembakan tersebut.
“Sebaik sahaja tembakan itu dibuat, anggota berkenaan dengan lain-lain unit telah sedaya upaya membantu untuk menyelamatkan mangsa yang tidak sepatutnya berbuat demikian kepada anggota yang bertugas melakukan rondaan pencegahaan jenayah,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pancaragam Zon Selatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, situasi seumpama itu merupakan antara risiko yang yang perlu dihadapi oleh pegawai dan anggota PDRM.
"Ada ketikanya mungkin banyak pihak tidak berapa gembira dengan tindakan yang diambil. Tapi untuk keperluan mempertahankan diri, perlu berbuat demikian demi untuk menjaga keselamatan diri beliau," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mengamuk cedera ditembak polis
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki cedera ditembak selepas dipercayai mengamuk dan menyerang seorang anggota URB dari IPD Klang Selatan, di sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang Selangor, semalam.
Kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada kegagalan suspek mengeluarkan wang dari bank tersebut, yang turut dirakam oleh orang awam seterusnya tersebar di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!