Pasar Awam Banting ditutup tiga hari
BANTING - Pasar Awam Banting akan ditutup selama tiga hari bermula Isnin depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
Pegawai Komunikasi Korporat MDKL, Mohammad Kamal Mohd Ramlan berkata, tindakan pembersihan terpaksa dijalankan apabila pihak MDKL mendapati terdapat banyak tempat berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk di situ.
“Penutupan sementara pasar kepada orang awam dari hari Isnin hingga Rabu ini bagi kerja pembersihan secara menyeluruh dalam bangunan pasar tersebut.
“Ia berkait dengan isu pembiakan nyamuk di mana pihak MDKL mendapati terdapat banyak tempat berpotensi di sekitar bangunan pasar ini,” katanya.
Sehubungan itu, pihak MDKL meminta semua peniaga di pasar tersebut turut sama menyertai kerja-kerja pembersihan bakal dijalankan.
Peniaga juga diminta membuka semua binaan tambahan dan membersihkan tapak perniagaan sendiri memandangkan pasar ini merupakan punca utama rezeki mereka.
“Peniaga juga perlu kosongkan laluan tengah pasar dan memastikan semua barangan perniagaan seperti bakul, meja, kerusi, kotak, rak barang, tong ikan dan sebagainya dialih dan dikosongkan.
“Jika peniaga tidak mengosongkan petak perniagaan, pihak MDKL akan mengambil barang-barang tersebut untuk dilupuskan.
“Pihak MDKL tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan dan kehilangan barang semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!